PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hadir ke bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa bagi menyambung rakaman percakapan untuk hari kedua pagi ini bagi membantu siasatan berkait kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Ahli Parlimen Pandan itu tiba pada jam 9.30 pagi dan memaklukan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan siasatan setakat ini hanya berkaitan dengan prosedur.
“Saya, nothing to hide (tiada apa-apa hendak disembunyikan),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Selasa.
Beliau menjelaskan, proses soal siasat biasanya berjalan mengikut kronologi peristiwa.
“Semalam itu soal siasat mengenai bahagian tertentu. Sekarang hari ini bahagian baru. Jadi saya ingat hari ini pun macam semalam, hampir sampai 9 jam,” katanya.
Rafizi turut menyatakan layanan pihak SPRM sepanjang proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Saya rasa kalau tengok kepada soal siasat semalam, esok sama lagilah. Memang proses dia,” ujarnya ringkas.
Beliau menjangkakan keseluruhan proses siasatan akan mengambil masa beberapa hari memandangkan setiap bahagian perlu diperincikan mengikut rekod dan kronologi.
Rafizi tiba menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo XC60 berwarna gelap dan memakai kemeja putih dan sut hitam.
Minggu lalu, pembantu Rafizi, Chai Jin Shern atau James Chai, turut dirakam keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu ini bagi membantu siasatan kes sama.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.