BERLIN: Bilangan farmasi di Jerman terus mencatat penurunan pada awal tahun ini, menurut data yang dikeluarkan pada Selasa oleh Persatuan Ahli Farmasi Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pada akhir Mac, terdapat 16,541 farmasi di seluruh negara, iaitu 60 lebih rendah berbanding pada awal tahun ini, menurut persatuan itu. Pembukaan 19 premis baharu diimbangi oleh penutupan 79 premis. Angka itu merangkumi farmasi utama dan cawangan, dengan setiap farmasi dibenarkan mengendalikan sehingga tiga cawangan.
Ketua Persatuan Ahli Farmasi Jerman Hans-Peter Hubmann berkata bekalan ubat kepada orang ramai kekal terjamin, namun beliau memberi amaran bahawa trend itu tidak boleh berterusan untuk jangka masa panjang.
Beliau berkata setiap penutupan bermakna jarak yang lebih jauh perlu ditempuh oleh ribuan pesakit. Kemerosotan jangka panjang itu jarang sekali disebabkan oleh salah urus individu atau peningkatan persaingan, sebaliknya disebabkan apa yang disifatkannya sebagai kekurangan dana yang kronik dalam sektor farmasi.
Sektor itu sejak sekian lama menggesa peningkatan fi tetap pendispensan daripada €8.35 (US$9.75) kepada €9.50 bagi setiap pakej preskripsi. Cadangan oleh gabungan kerajaan Jerman bagaimanapun ditangguhkan berikutan tekanan terhadap syarikat insurans kesihatan berkanun.
Menteri Kesihatan Nina Warken kemudian berkata beliau berhasrat untuk mengkaji semula cadangan kenaikan itu, selain turut menyediakan langkah kawalan kos yang lebih menyeluruh sebagai sebahagian daripada reformasi penjagaan kesihatan.
Situasi kewangan farmasi di Jerman juga dijangka dibincangkan dalam forum ekonomi industri di Berlin pada Selasa.
-- BERNAMA-dpa