Skip to main content

Malaysia

Pasukan keselamatan perlukan kekuatan, aset teknologi tinggi pantau sempadan dan perairan Sabah - Hajiji

SANDAKAN HAJIJI
Hajiji (tengah) sewaktu meninjau keselamatan di kawasan pelancongan membabitkan tiga pulau iaitu Bakungan Kecil, Selingan serta Lankayan pada Selasa. - Bernama

SANDAKAN: Pasukan keselamatan Sabah memerlukan kekuatan dan aset berteknologi tinggi bagi memantau keadaan sempadan daratan serta perairan negara daripada dimasuki elemen jenayah melalui negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata meskipun tiada laporan berhubung insiden pencerobohan berlaku di kawasan Pantai Timur Sabah kebelakangan ini, kawalan keselamatan di negeri itu perlu terus diperhebat.

“Apabila saya menjadi Ketua Menteri saya beritahu kepada Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan bahawa masih banyak aset dan kekuatan diperlukan bagi mengawasi perairan negara.

“Apabila kita dalam keadaan aman, keselamatan baik, maka sektor pelancongan akan berkembang, banyak pelancong domestik dan antarabangsa akan datang ke Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur negeri ini yang memiliki banyak pulau indah seperti Sipadan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keselamatan di kawasan pelancongan membabitkan tiga pulau iaitu Bakungan Kecil, Selingan serta Lankayan di sini hari ini.

Turut serta dalam tinjauan itu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin serta Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos.

Sementara itu, Jafry berkata keyakinan pelancong ke kawasan ESSZone meningkat misalnya apabila Amerika Syarikat menurunkan tahap nasihat perjalanan ke kawasan daratan timur Sabah kepada Tahap 1 berbanding Tahap 2 sebelum ini.

“Perkara ini merupakan satu tanda positif bagi sektor pelancongan. Saya juga yakin dengan komitmen kerajaan pusat dan negeri memastikan keselamatan Sabah diperkukuh sekali gus meningkatkan lagi industri pelancongan negara,” katanya.

Victor pula berkata pasukan keselamatan berganding bahu bagi memastikan kawalan perairan di kawasan Sabah Timur terjamin selamat.

“Hal ini bagi membolehkan aktiviti pelancongan digerakkan sekali gus memastikan penduduk hidup sejahtera. Saya berharap masyarakat ESSZone menjadi mata, telinga dan radar bergerak bagi ESSCOM agar sebarang kegiatan jenayah dapat diambil tindakan,” katanya.

Beliau tidak menafikan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan dan pendatang tanpa izin masih wujud namun pihaknya sentiasa mengambil tindakan pada masa yang sesuai.

“Penculikan bagi wang tebusan juga sudah tidak ada, walaupun mungkin kumpulan itu masih ada,  mereka tidak aktif dan pasukan keselamatan sentiasa memantau perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video