Skip to main content

Malaysia

TH berunding dengan syarikat penerbangan pastikan kos tiket haji tidak terjejas - Fadillah

KUCHING, 14 Mac -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat ADUN N7 Semariang, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadillah bercakap kepada media pada Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Samariang hari ini. - Foto Bernama

KUCHING: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang berunding dengan syarikat penerbangan bagi memastikan kos tiket jemaah haji Malaysia tidak terjejas susulan ketidaktentuan harga bahan api global akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata perbincangan itu melibatkan syarikat penerbangan dalam dan luar negara bagi mengekang kemungkinan kenaikan kos penerbangan menjelang musim haji akan datang.

“Ini bukan sahaja melibatkan haji kerana apabila berlaku krisis, harga minyak akan naik dan kos insurans juga meningkat. Maka kos logistik termasuk kapal terbang dan pengangkutan laut akan naik.

“Selain itu, penerbangan dalam negeri pun akan naik. Sebab perjalanan antara Sabah, Sarawak menggunakan kapal terbang sudah pasti ada caj tambahan minyak penerbangan dalam negeri dan juga luar negara. Jadi, ini persiapan-persiapan yang kami kena lihat dan bagaimana kami nak tangani,” katanya.

Fadillah berkata demikian pada Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Samariang hari ini.

Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan oleh TH atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan selepas rundingan dengan syarikat penerbangan dimuktamadkan.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata selain kos perjalanan jemaah haji, kerajaan memantau rapi perkembangan semasa memandangkan kenaikan kos logistik boleh memberi kesan kepada pelbagai sektor.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kos menunaikan ibadah haji boleh meningkat sekiranya konflik di rantau Teluk berlarutan dan menjejaskan rantaian bekalan tenaga serta logistik global.

“Sebab itu yang kami harapkan, Perdana Menteri juga telah dihubungi oleh pemimpin di peringkat Teluk untuk menjadi mediator dalam berunding… supaya konflik di Teluk itu dapat diselesaikan dan sekurang-kurangnya kalau dapat dibenarkan membuka Selat Hormuz itu supaya sektor logistik akan dapat berjalan,” katanya.

Selat Hormuz, yang dikenali sebagai koridor tenaga terpenting di dunia terletak di antara Iran dan Oman, menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab.

Kira-kira 167 kilometer panjang dan hanya 33 kilometer lebar pada titik paling sempit serta kedalaman 200 meter, selat itu berfungsi sebagai satu-satunya laluan laut bagi pengeluar Teluk mengeksport minyak dan gas dalam jumlah besar ke pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video