KUALA LUMPUR: Trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan dan mengalami kelewatan setakat 1.30 tengah hari susulan hari terakhir pelaksanaan diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata aliran trafik meningkat di beberapa laluan utama termasuk di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan E1 arah utara yang perlahan dari Sungkai ke Bidor serta dari Tapah ke Gopeng.
“Bagi PLUS laluan E2 pula, trafik arah utara bergerak perlahan dari Senai ke Kulai, Seremban ke Bandar Ainsdale dan selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar manakala arah selatan sesak dari Nilai ke kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban serta dari Senawang ke Pedas Linggi,” katanya.
Beliau berkata trafik di Tambak Johor arah utara dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands, Singapura menghala ke Bangunan Sultan Iskandar juga dilaporkan perlahan.
“Sementara itu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik arah timur bergerak perlahan dari selepas Plaza Tol Gombak ke Terowong Genting Sempah,” katanya.
LLM menasihatkan pengguna jalan raya memberi tumpuan penuh ketika memandu, mengekalkan jarak selamat dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang halangan di laluan masing-masing.
Pengguna juga diingatkan memberi isyarat lebih awal sebelum menukar lorong bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi talian hotline 1-800-88-7752 dari 7 pagi hingga 10 malam atau WhatsApp rasmi LLM Info Trafik, TikTok @llmtrafik, Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia serta aplikasi TUJU dan MYJalan.
Pada 7 Feb, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan bersetuju melaksanakan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan itu melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM19.5 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
Diskaun tol itu bermula 12.01 tengah malam 14 Feb hingga 11.59 malam 15 Feb.
-- BERNAMA