KUALA LUMPUR: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan latihan ketenteraan di kawasan pulau negeri itu, menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna.
Baginda bertitah mengambil berat mengenai aktiviti oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hendak dilaksanakan terutama di kawasan kepulauan negeri berkenaan.
Baginda bertitah, tidak menolak aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman pegawai dan anggota tentera.
"Namun aktiviti ketenteraan tersebut mestilah dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar dan semua pihak," titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Justeru, baginda bertitah, ATM dan semua jabatan serta agensi yang berkaitan perlu menyembah maklum dan mendapatkan perkenan Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di negeri itu.
Tengku Hassanal bertitah, ATM dan semua pihak mesti mematuhi serta menjunjung titah baginda.
Baginda bertitah, tidak akan teragak-agak meminta Kerajaan Negeri Pahang untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur yang berlaku.