Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Konflik Asia Barat: 170 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air

EVAKUASI RAKYAT MALAYSIA
Sekumpulan 163 rakyat Malaysia yang terkandas di zon Asia Barat selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) kira-kira 12.32 tengah hari Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

SEPANG: Sekumpulan 170 rakyat Malaysia yang terkandas di rantau Asia Barat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), di sini kira-kira 12.32 tengah hari Rabu.

Selain rakyat Malaysia, turut tiba adalah tujuh ahli keluarga bukan warganegara Malaysia, termasuk dari Thailand, Indonesia dan Maghribi yang tiba menerusi penerbangan khas MH8503 yang berlepas dari Jeddah pukul 10.20 malam tadi.

Kumpulan ini terdiri daripada rakyat Malaysia yang terkandas sewaktu menunaikan ibadah umrah di Arab Saudi selain rakyat Malaysia dari Qatar, Jordan dan Syria yang terjejas akibat gangguan penerbangan serta penutupan ruang udara di rantau tersebut.

Operasi membawa pulang ini diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan sokongan Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Perwakilan Malaysia di luar negara bagi memastikan semua penumpang dapat dipindahkan dengan selamat.

Difahamkan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah turut membantu pendaftaran penumpang dan pemindahan darat dari Madinah.

Manakala Kedutaan Malaysia di Doha dan Amman menyelaras pemindahan rakyat Malaysia dari Qatar, Jordan, dan Syria.

Penumpang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, antara 4 hingga 88 tahun, termasuk kanak-kanak, pelajar, dan warga emas.

Sebilangan besar rakyat Malaysia telah mendaftar minat untuk operasi evakuasi, namun sesetengahnya pulang melalui penerbangan komersial lain selepas ruang udara dibuka semula.

Operasi ini menunjukkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, syarikat penerbangan dan Perwakilan Malaysia di lapangan, dengan tujuan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara sepanjang proses pemulangan.

Must Watch Video