PUTRAJAYA: Kajian penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir yang sedang dilaksanakan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh laluan kemajuan kerjaya bagi skim berkenaan, yang merupakan antara kumpulan terbesar dalam perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata kajian itu bertujuan menambah baik struktur perkembangan kerjaya supaya peluang kemajuan bagi pembantu tadbir dapat dilaksanakan secara lebih jelas, teratur dan berkesan.
Beliau berkata dalam mana-mana sistem perkhidmatan awam, kemajuan kerjaya lazimnya mengambil kira beberapa faktor penting termasuk tempoh perkhidmatan, kelayakan akademik, pengalaman serta tahap kompetensi pegawai.
"Penambahbaikan yang sedang dikaji ini bertujuan memperkukuh laluan kerjaya dalam skim pembantu tadbir, bukan kenaikan gred secara automatik kepada semua penyandang.
"Pendekatan ini penting bagi memastikan peluang kemajuan kerjaya dilaksanakan secara adil, tersusun dan selaras dengan keperluan perkhidmatan awam, di samping mengekalkan keseimbangan keseluruhan struktur perkhidmatan awam," katanya kepada Bernama hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata kajian komprehensif yang sedang dilaksanakan membabitkan lebih 126,000 penjawat awam dengan sasaran pelaksanaan penambahbaikan bermula Januari 2027.
"Dari segi jumlah penyandang, ia melibatkan angka sangat besar iaitu kira-kira 106,722 jawatan pembantu tadbir perkeranian dan 20,106 jawatan pembantu tadbir kewangan di seluruh perkhidmatan awam.
“Dengan jumlah begitu besar, sebarang penambahbaikan kepada skim ini perlu diteliti dengan berhati-hati kerana ia melibatkan implikasi yang luas terhadap keseluruhan struktur perkhidmatan awam," katanya.
Menurut beliau, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan seimbang dalam menilai penambahbaikan skim berkenaan termasuk mempertimbangkan cadangan dikemukakan Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) untuk menaik taraf skim tersebut kepada kelayakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau diploma.
"Dalam menilai sesuatu cadangan melibatkan perubahan struktur perkhidmatan awam, terdapat beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan, antaranya prinsip rate for the job iaitu kadar ganjaran perlu selaras dengan skop dan tanggungjawab sesuatu jawatan.
"Selain itu, kita juga perlu menilai kesannya terhadap struktur organisasi sedia ada, kemungkinan berlakunya tuntutan sama daripada skim perkhidmatan lain serta implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan," katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata tempoh antara sekarang hingga tarikh pelaksanaan penting bagi JPA untuk melaksanakan kajian secara menyeluruh, termasuk meneliti aspek struktur perkhidmatan, laluan kerjaya, kriteria kelayakan serta implikasi kewangan supaya pelaksanaannya nanti dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Beliau berkata pendekatan itu juga penting bagi memastikan penambahbaikan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada penjawat awam serta mengekalkan keseimbangan keseluruhan sistem perkhidmatan awam.
"Kajian ini bukan sekadar melihat satu skim perkhidmatan, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan sistem perkhidmatan awam sentiasa relevan, seimbang dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan, selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Pada 9 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan JPA untuk menyediakan laluan kenaikan pangkat bagi penjawat awam Gred 1 merangkumi kategori pembantu tadbir, pengkeranian dan kewangan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah berkenaan perlu dilaksana bagi membolehkan penjawat awam gred rendah mempunyai peluang kemajuan kerjaya di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
-- BERNAMA