Skip to main content

Malaysia

Tengku Hassanal berjaya 'tawan' puncak Gunung Kinabalu hari ini

Tengku Hassanal Berjaya 'Tawan' Puncak Gunung Kinabalu Hari Ini -- BERNAMA
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dalam Ekspedisi Mahkota Borneo yang berakhir hari ini di Sabah. - Foto Bernama

KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama rombongan berjaya ‘menawan’ puncak Gunung Kinabalu, pada 8.45 pagi hari ini.

Penolong Pengurus Taman, Unit Penyelamatan dan Krisis, Bahagian Operasi dan Penguatkuasaan Taman-Taman Sabah Julaimin Kamin berkata Tengku Hassanal bersama rombongan memulakan pendakian pada 3.07 pagi selepas tiba di Panalaban pada 3.45 petang semalam.

"Baginda tiba di pusat pemeriksaan Sayat-Sayat pada jam 5.05 pagi sebelum meneruskan pendakian di Kilometer 8.5 pada 6.37 pagi dan tiba di puncak Kinabalu bersama rombongan pada 8.45 pagi,” katanya kepada Bernama.

Julaimin berkata keadaan cuaca semasa mendaki sangat baik iaitu pada kira-kira 9.0 Celsius dan proses pendakian berjalan dengan selamat dan lancar.
Beliau berkata Tengku Hassanal bersama rombongan meluangkan masa hampir sejam berada di puncak Kinabalu sebelum turun semula ke Panalaban pada 9.30 pagi.

Semalam, Tengku Hassanal mengetuai rombongan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sempena Ekspedisi Mahkota Borneo selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Pendakian bermula dari Pondok Timpohon pada 8.05 pagi semalam sebelum baginda bersama rombongan tiba kawasan penginapan di Panalaban pada 3.45 petang.

Sepanjang laluan pendakian, terdapat tujuh pondok perhentian untuk pendaki berehat iaitu Pondok Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Paka dan Waras.

Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095.2 meter dari aras laut merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan terletak dalam kawasan Taman Kinabalu seluas 754 kilometer persegi.

Taman Kinabalu yang diwartakan pada 1964 berfungsi sebagai kawasan konservasi biodiversiti dan merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pertama negara.

Kini, Taman Kinabalu turut mendapat pengiktirafan sebagai kawasan teras dalam Geopark Global UNESCO Kinabalu (KUGGp) yang meliputi kawasan seluas 4,750 kilometer persegi merangkumi Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian Ranau. -- Sinar Harian
 

Must Watch Video