NEW DELHI: Penglibatan Malaysia dalam BRICS semakin penting bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan daya tahan serantau, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa.
Menurut beliau, BRICS yang dianggotai beberapa kuasa ekonomi utama dunia juga memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju kerjasama antarabangsa khususnya berkaitan isu rantaian bekalan.
"Ini akan menjadi platform yang amat baik bagi semua negara anggota BRICS serta negara rakan untuk melihat bagaimana kita boleh menangani isu ini.
"Sudah tentu, seperti yang kita maklum, BRICS bukanlah sebuah organisasi tetap yang boleh mempengaruhi, sebagai contoh, keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Namun begitu, saya berpendapat bahawa sebarang persefahaman di peringkat BRICS juga akan memberikan hala tuju pada masa hadapan mengenai bagaimana kita mahu menangani isu-isu global seperti konflik di Asia Barat," katanya dalam sidang media di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika dunia terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global susulan konflik di Asia Barat.
Malaysia akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS di New Delhi pada 14 dan 15 Mei 2026 sebagai Negara Rakan BRICS.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual menyampaikan pendirian Malaysia dalam dua sesi utama BRICS termasuk berkaitan multilateralisme, keselamatan tenaga, rantaian bekalan global dan kepentingan Global South.
Di sela-sela mesyuarat, Mohamad juga dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala termasuk bersama rakan sejawat dari Cuba, Rusia dan India bagi membincangkan isu berkepentingan bersama serta memperkukuh kerjasama strategik antara negara.
BRICS ialah blok kerjasama ekonomi dan geopolitik yang dianggotai negara-negara ekonomi sedang membangun utama dunia, termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Ketika ini, BRICS mewakili hampir separuh populasi dunia dengan gabungan ekonomi bernilai kira-kira AS$32 trilion atau hampir 30 peratus daripada keluaran ekonomi global.