Skip to main content

Dunia

Wabak hantavirus kapal persiaran ragut tiga nyawa, pesakit Perancis kritikal

An ambulance enters the Bichat Hospital where a woman who tested positive for hantavirus remains in intensive care, in Paris, Tuesday, May 12, 2026. (AP Photo/Michel Euler)
Pesakit itu sedang dirawat di Hospital Bichat, Paris, selepas mengalami jangkitan teruk yang menyebabkan kegagalan fungsi paru-paru dan jantung. -Foto AP

PARIS: Wabak jangkitan hantavirus yang dilapor melibatkan sebuah kapal persiaran mencatatkan 11 kes, dengan seorang wanita warga Perancis kini berada dalam keadaan kritikal dan bergantung kepada mesin sokongan paru-paru.

Pesakit itu sedang dirawat di Hospital Bichat, Paris, selepas mengalami jangkitan teruk yang menyebabkan kegagalan fungsi paru-paru dan jantung.

Menurut pakar penyakit berjangkit, Dr Xavier Lescure, pesakit berkenaan diletakkan di bawah sistem sokongan hayat oksigenasi membran ekstrakorporeal (ECMO), yang menyalurkan darah ke mesin untuk proses pengoksigenan sebelum dipam semula ke dalam badan.

“Rawatan ini bertujuan mengurangkan tekanan pada organ dalaman bagi memberi masa untuk jantung dan paru-paru pulih,” katanya.

Setakat ini, wabak itu melibatkan 11 kes, termasuk sembilan kes disahkan dan dua kes disyaki, menurut laporan media.

Tiga kematian dilaporkan membabitkan penumpang kapal persiaran berkenaan, termasuk sepasang suami isteri warga Belanda yang dipercayai antara individu terawal terdedah kepada virus itu.

Menurut laporan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan kes yang direkodkan setakat ini hanya melibatkan penumpang dan kru kapal terbabit.

“Setakat ini, tiada bukti penularan meluas, namun situasi masih dalam pemantauan,” menurut kenyataan itu.

Kes terbaharu melibatkan seorang penumpang warga Sepanyol yang kini menjalani kuarantin di Madrid.

Sementara itu, penumpang lain yang terdedah dilaporkan telah dipindahkan ke kemudahan kuarantin bagi pemantauan lanjut.

Kapal persiaran MV Hondius dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang untuk menjalani proses pembersihan dan pembasmian kuman.

 

Must Watch Video