Skip to main content

Malaysia

TDM perkukuh kehadiran pastikan sempadan negara terpelihara, terkawal

KUALA LUMPUR, 4 April -- Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus memperkukuh kehadiran anggota serta aset pasukan itu di sepanjang perbatasan bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara dan terkawal.

​Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata usaha itu dilaksanakan dengan sokongan teknologi terkini termasuk penggunaan dron, motosikal scrambler, kenderaan lasak pelbagai guna (ATV) serta peralatan optronik.

​"Kehadiran aset teknologi tinggi ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengawasan, malah menjamin kebajikan dan keselamatan anggota kita yang bertugas di barisan hadapan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Bagi menghadapi landskap keselamatan global yang semakin kompleks, beliau berkata TDM kini sedang melalui fasa transformasi holistik selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan, sekali gus membolehkan ia terus menjadi sebuah angkatan yang sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan.

“​Evolusi ini memerlukan kita membina struktur angkatan bersifat modular, lethal (mematikan) dan deployable (mudah atur gerak). Kita perlu bersedia menghadapi peperangan pelbagai domain dan ketidaktentuan geopolitik serantau," katanya.

Sementara itu, Azhan berkata TDM dijangka menerima lapan helikopter melalui program sewaan bagi tempoh 15 tahun mulai tahun hadapan menerusi perolehan melibatkan dua fasa untuk memperkasakan  Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Beliau turut memberikan perkembangan terkini mengenai perolehan aset artileri iaitu Self-Propelled Howitzer (SPH), sambil menjelaskan bahawa proses perolehan tersebut kini berjalan lancar dan dijangka mula memasuki perkhidmatan TDM secara berperingkat pada tahun hadapan.

"Perolehan aset baharu ini penting bagi memastikan angkatan TDM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi selaras dengan keperluan pertahanan negara masa kini," katanya.

​Terdahulu, Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-93 yang berkonsepkan rejimental itu melibatkan kekuatan seramai 36 pegawai dan 847 anggota lain-lain pangkat dengan diketuai oleh Leftenan Kolonel Ahmad Safuan Jaafar dan turut menampilkan perarakan lapan panji-panji dan lapan detasmen pelbagai Kor dan Rejimen TDM.

​Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan segmen Terbang Lintas Hormat oleh PUTD yang melibatkan dua pesawat Agusta A109 dan dua pesawat MD530G.

​​Selain itu, perbarisan turut diserikan dengan peragaan statik aset pertahanan utama TDM antaranya ULB ASTROS TWO, AV8 GEMPITA ATGW, Kereta Kebal PT-91M Pendekar, ADNAN ACV 300, Kenderaan Rapid Ranger serta Meriam 105 Milimeter LG 1 MK III.

​-- BERNAMA

Must Watch Video