KUALA LUMPUR: Tali leher rekaan khas yang menampilkan siluet ikonik Menara Berkembar Petronas Malaysia dan Jambatan Pemberontakan Kebangsaan Slovakia (Jambatan SNP) muncul sebagai simbolik penghubung antara Kuala Lumpur dan Bratislava.
Hanya 55 helai dihasilkan di seluruh dunia, tali leher edisi terhad itu dikeluarkan sempena pembukaan semula Kedutaan Slovakia di Kuala Lumpur selepas ditutup selama 13 tahun, selain memperingati ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik bersejarah antara Malaysia dan Czechoslovakia yang kemudiannya berpecah menjadi Slovakia dan Republik Czech (Czechia).
Duta Slovakia ke Malaysia Peter Spisiak berkata rekaan tali leher yang diinspirasikan daripada ikon seni bina kedua-dua negara itu mencerminkan hubungan simbolik antara Slovakia dan Malaysia melalui seni bina, budaya serta kerjasama strategik.
"Jambatan SNP di Bratislava yang merentasi Sungai Danube terkenal dengan reka bentuk jambatan kabel pancang yang unik, menampilkan satu menara utama dan satu satah kabel. Siluetnya yang berani melambangkan usaha membina jambatan antara negara dan mengukuhkan hubungan diplomatik.
"Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur pula melambangkan inovasi, identiti budaya dan kerjasama moden.
"Reka bentuk geometri berinspirasikan kesenian Islam serta jejantas ikoniknya turut membawa simbolik hubungan, kerjasama dan aspirasi bersama antara kedua-dua negara," katanya kepada Bernama.
Ditenun menggunakan sutera asli premium 100 peratus di Itali, tali leher eksklusif itu terutamanya dijadikan hadiah diplomatik kepada rakan, rakan kongsi dan tetamu kenamaan, khususnya di Malaysia, selain turut dipakai dengan bangga oleh diplomat Slovakia yang bertugas di negara ini.
"Tali leher ini ditenun menggunakan 100 peratus sutera asli di Itali, mencerminkan pengeluaran tekstil Eropah berkualiti tinggi serta perhatian terhadap perincian," katanya.
Sementara itu, Spisiak berkata walaupun Bratislava dan Kuala Lumpur dipisahkan oleh ribuan batu, kedua-dua negara berkongsi banyak persamaan dari segi budaya, warisan dan seni kraf tradisional, khususnya dalam bidang tekstil.
Beliau berkata persamaan itu dapat dilihat menerusi persamaan sejarah dan teknikal yang ketara antara batik Malaysia dan Modrotlač (Blueprint Slovakia), iaitu teknik tradisional pencelupan kain rintang indigo dari Eropah yang disenaraikan dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.
"Saya mendapati terdapat persamaan yang mendalam antara batik anda dan teknologi Blueprint Slovakia kami kerana kedua-duanya berasaskan kaedah yang hampir sama dalam menghasilkan corak menggunakan pewarna indigo," katanya.
Beliau juga berkata bahawa logo baharu Kedutaan Slovakia di Malaysia sebenarnya merupakan gabungan kreatif kedua-dua corak tekstil tradisional itu.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala antara Kuala Lumpur dan Bratislava mencecah RM1.22 bilion, dengan Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM575.07 juta.
Eksport utama Malaysia ke Slovakia terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, peralatan dan alat ganti, manakala import utama dari Slovakia melibatkan jentera, peralatan dan alat ganti, produk E&E serta peralatan pengangkutan.
-- BERNAMA