Skip to main content

Malaysia

Syarikat, pengarah didakwa 10 pertuduhan gagal bayar cukai jualan

51744102561_CourtMahkamah.jpg
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah bahawa terdapat surat bayaran cukai secara ansuran telah dibuat dan dihantar kepada JKDM. - Gambar fail

Sebuah syarikat pengilang minyak masak dan sabun serta pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas 10 pertuduhan gagal membayar cukai jualan bagi tempoh antara 2023 hingga 2024.

Orang Kena Saman (OKS) Oh Ah Heng, 51, yang mewakili syarikat Yongxing Edible Oil Sdn Bhd bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Noor Sakinah Harron Arashid dan Suriyanilakma Abdul Kadir. 

Mengikut pertuduhan, syarikat dan lelaki terbabit didakwa sebagai Orang Berdaftar di bawah Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) didapati gagal membayar cukai jualan bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Feb dan November hingga 31 Dis 2023 serta 1 Julai hingga 31 Ogos dan 1 Sept hingga 30 Okt 2024 dalam tempoh ditetapkan membabitkan tunggakan keseluruhan cukai jualan dan penalti sebanyak RM36,504.25.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Taiping, Cawangan Cukai Dalam Negeri (CDN), Jalan Asam Kumbang, Kampung Asam Kumbang pada 3 Dis 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) dibaca bersama Seksyen 93 (1) Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah bahawa terdapat surat bayaran cukai secara ansuran telah dibuat dan dihantar kepada JKDM.

Pegawai Pendakwa JKDM Ar Junadi Jamaluddin dan Nur Amalina Ahmad Nazeri bagaimanapun memberitahu mahkamah pihaknya baru menerima surat itu hari ini dan meneruskan pendakwaan kerana kesalahan itu telah dilakukan selain memohon tempoh untuk mengesahkan status surat pembayaran tersebut.

Mahkamah kemudian memerintahkan OKS hadir ke JKDM Taiping untuk membincangkan status surat tersebut dan menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video