Skip to main content

Sukan

Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia atasi Vietnam, bertemu India di final kuadran

KUALA LUMPUR, 19 Mei -- Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan meraikan kejayaan mereka selepas berjaya menewaskan pasukan Vietnam pada perlawanan separuh akhir acara Kuadran sempena Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa hari ini.  Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Muhammad Fetri Mohd Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi berjaya mara ke peringkat akhir setelah menewaskan Vietnam 2-1.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan meraikan kejayaan mereka selepas berjaya menewaskan pasukan Vietnam pada perlawanan separuh akhir acara Kuadran sempena Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Skuad negara menepati sasaran mara ke pentas akhir acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menewaskan Vietnam 2-1 dalam aksi separuh akhir mendebarkan di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Barisan negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi memulakan aksi cemerlang apabila memenangi set pertama 15-10.

Namun, Vietnam yang diwakili Nguyen Hoang Lan, Vuong Minh Chau, Nguyen Van Ly dan Huynh Ngoc Sang bangkit memberi tentangan sengit untuk menguasai set kedua 15-12, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam aksi penentuan dramatik itu, Malaysia cemas seketika apabila ketinggalan 9-12 sebelum berjaya mengikat kedudukan 14-14 dan seterusnya menoktahkan kemenangan 17-14.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Ahmad Jais Baharun menempah slot ke pentas final menentang India yang menewaskan Myanmar 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Terdahulu, Malaysia terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan India 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan C bagi mengesahkan tempat ke suku akhir acara berkenaan.

Perlawanan akhir kedua-dua pasukan dijadual berlangsung pada pukul 8 malam ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video