Skip to main content

Malaysia

STR kepada BNM selepas 28 transaksi RM19.3 juta masuk akaun Bersatu

KUALA LUMPUR, 9 Mac -- Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini pada hari pertama perbicaraan kes terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram yang dihadapinya.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. - Gambar fail/ Bernama

KUALA LUMPUR: Pengurus Kewangan CIMB Bank, Cawangan Menara CIMB KL Sentral memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) telah dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kemasukan RM19.3 juta ke akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), enam tahun lalu.

Lee Hui Nee berkata demikian dalam perbicaraan hari kedua, empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pegawai wanita berusia 58 tahun itu berkata, bank cawangan tersebut mendapati terdapat 28 transaksi wang secara berperingkat mencecah RM19.3 juta, dimasukkan ke akaun semasa CIMB Islamic Bank parti, bermula 24 Ogos 2021 hingga 11 November 2022 lalu.

Beliau yang juga saksi pendakwaan kedua berkata, nilai tertinggi diterima akaun parti itu ialah RM2 juta sementara terendah, RM200,000.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, empat transaksi mencecah RM4 juta didepositkan menerusi cek atas seorang individu dikenali Datuk Azman Yusoff sementara satu transaksi sebanyak RM1 juta daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Hui Nee berkata, STR akan dibangkitkan setiap kali pihak bank mengesan isyarat amaran awal atau ‘red flag’ dengan akaun tersebut.

Pendakwaaan: Adakah CIMB keluarkan STR bagi transaksi ini kepada BNM?

Hui Nee: STR merupakan maklumat sulit pelanggan, jika ada kemasukan wang yang terlalu tinggi, maka laporan itu akan dikeluarkan.

Pendakwaaan: Dalam kes ini, bagi akaun bank Bersatu, adakah STR telah dikeluarkan?

Hui Nee: Ya, ada.

Pendakwaan: Jadi BNM sudah maklum mengenai perkara itu?

Hui Nee: Saya tidak pasti, tugas bank hanya mengemukakan STR kepada BNM, jadi saya tidak tahu tindakan susulan BNM.

Berdasarkan pernyataan saksi, beliau berkata, akaun semasa atas nama Bersatu itu didaftarkan sebagai 'pelabur' dan jenis perniagaan disenaraikan sebagai 'parti politik'.

Menurutnya, pemohon bagi pembukaan akaun tersebut ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Kamarulzaman Habibur Rahman, Anina Saadudin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada 1 Disember 2020, nama pemegang akaun telah ditukar kepada Muhyiddin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri.

Sementara itu, ketika menjawab peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili bekas Perdana Menteri berusia 79 tahun itu turut menyoal mengenai STR.

Peguam: Saya cadangkan, jika STR dikemukakan, ia tidak bermakna berlaku kesalahan mengikut undang-undang?

Hui Nee: Keputusan muktamad terletak pada BNM.

Peguam: Hanya BNM yang boleh menentukan sama ada terdapat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang?

Hui Nee: Ya, setuju.

Peguam: Jadi, kita tidak sepatutnya membuat kesimpulan bahawa transaksi tersebut menyalahi undang-undang, setuju?

Hui Nee: Setuju.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat pindaan, Ahli Parlimen Pagoh ini didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta.

Wang itu didakwa daripada seorang individu iaitu Datuk Azman Yusoff dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen ini membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung Rabu. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video