KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan seorang Ketua Pengarah dan seorang Pengarah di sebuah jabatan agensi kerajaan selepas kedua-duanya direman selama lima hari, dengan jaminan pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Menurut sumber SPRM, kes berkenaan melibatkan siasatan penyelewengan dana kira-kira RM900,000, apabila kedua-dua suspek yang ditahan pada 11 Februari lalu disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing.
Difahamkan, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dipercayai menggunakan peruntukan kewangan di tempat kerja bagi tujuan kepentingan peribadi.
Bagaimanapun, menurut sumber, mereka dilepaskan lebih awal daripada tempoh reman yang ditetapkan selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan.
“Kini SPRM sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambah sumber itu, selain penyelewengan melibatkan jumlah berkenaan, kedua-dua suspek juga dipercayai mengemukakan tuntutan palsu serta dokumen mengandungi butiran material palsu bernilai kira-kira RM60,000.
Perbelanjaan tersebut didakwa digunakan bagi menunaikan ibadah umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan memaklumkan seramai 18 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, pihak SPRM turut menyita beberapa barangan berharga termasuk pakaian, gajet, barangan elektronik dan peralatan sukan dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM57,000.