KUALA LUMPUR: Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di beberapa negeri menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan mencatatkan penambahbaikan dalam Gred Purata Negeri (GPN) serta peningkatan bilangan calon cemerlang.
Di PUTRAJAYA, Pengarah Jabatan Pendidikan Nadimin Abdul Aziz berkata pencapaian GPN ialah pada 3.31 mata berbanding 3.44 mata pada 2024.
Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.
Beliau berkata sebanyak 2,317 calon atau 99.19 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,506 calon layak mendapatkan sijil dengan 195 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A+,A atau A- dalam semua mata pelajaran manakala 13 calon tidak hadir.
Di PULAU PINANG, sebanyak 750 calon peperiksaan memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil dengan 25 daripadanya mendapat semua A+ iaitu cemerlang tertinggi.
Pengarah Pendidikan Negeri Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata sebanyak 16,545 calon daripada 17,933 orang calon (92.26 peratus) yang hadir menduduki SPM 2025 layak menerima sijil.
Di KEDAH, sebanyak 715 calon atau 2.81 peratus berjaya memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran berbanding 649 orang atau 2.62 peratus pada SPM 2024.
Pengarah Pendidikan Negeri Abdul Rahim Mat berkata sebanyak 29,993 calon telah mendaftar untuk SPM 2025 berbanding 28,933 calon pada 2024 iaitu pertambahan 1,060 orang bersamaan dengan 3.66 peratus.
Pencapaian keseluruhan berdasarkan GPN pula ialah 4.52 dengan sebanyak 24 calon berjaya memperoleh gred A+ bagi semua mata pelajaran.
Di PERLIS, Pengarah Pendidikan Negeri Rose Aza Che Arifin berkata calon SPM 2025 yang layak mendapat sijil merekodkan penurunan iaitu 94.36 peratus berbanding dengan 95.01 peratus pada 2024.
“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran ialah 54 orang (1.67 peratus) pada SPM 2025 berbanding dengan 89 orang (2.96 peratus) pada 2024 yang menunjukkan penurunan 1.29 peratus,” katanya.
Secara keseluruhan, Rose Aze berkata pencapaian calon SPM 2025 bagi negeri itu berdasarkan indeks GPN menurun iaitu 4.67 berbanding 4.57 pada tahun sebelumnya.
Di PERAK, Pengarah Pendidikan Negeri Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata pencapaian GPN meningkat kepada 4.49 berbanding 4.63 yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata sebanyak 1, 008 daripada 28,058 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dengan 26 calon berjaya mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan Negeri Khalidah Omar berkata GPN negeri menunjukkan paras cemerlang selepas mencatatkan indeks yang semakin baik iaitu 4.16 berbanding 4.18 pada 2024, sekali gus mengatasi gred kebangsaan 4.42.
Beliau berkata sebanyak 754 daripada 14,827 calon SPM 2025 berjaya memperoleh gred cemerlang bagi semua mata pelajaran yang diduduki.
“Calon di luar bandar menunjukkan peningkatan prestasi lebih baik iaitu peningkatan 0.07 mata (4.28) pada SPM 2025 berbanding prestasi calon bandar yang kekal 4.14 mata. Perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar pada 2025 dan 2024 juga kecil, iaitu 0.07 mata (0.21-0.14),” katanya.
Di MELAKA, sebanyak 10,881 atau 97.07 daripada 10,955 calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 10,532 (96.14 peratus) pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 0.93 peratus.
Pengarah Pendidikan Negeri Mahfudzah Mohamed Noor berkata sebanyak 390 calon (3.48 peratus) memperolehi gred cemerlang A dalam semua mata pelajaran dengan lapan daripadanya mencapai gred A+.
Beliau berkata GPN Melaka bagi 2025 meningkat 0.17 mata kepada 4.26 mata berbanding 4.43 mata pada 2024, sementara bilangan sekolah yang mencapai 100 peratus layak menerima sijil sebanyak 24 daripada 76 sekolah.
Di SABAH, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Raisin Saidin berkata sebanyak 605 calon memperoleh semua A dalam mata pelajaran dengan tiga daripada mereka mendapat semua A+.
“Secara keseluruhan, analisis keputusan peperiksaan SPM 2025 menunjukkan pencapaian memberangsangkan yang mencerminkan keberkesanan usaha berterusan KPM untuk memastikan sistem pendidikan negara kekal bermutu, inklusif dan memberikan peluang kepada semua calon di seluruh negara,” katanya.
Di SARAWAK, pencapaian GPN meningkat kepada 4.79 berbanding 4.84 pada 2024, dengan 31,509 calon layak menerima sijil dan 853 calon memperoleh keputusan cemerlang.
Pengarah Pendidikan Negeri Omar Mahli berkata sebanyak 21,680 calon lulus semua mata pelajaran, meningkat berbanding 20,123 calon pada 2024.
“Prestasi ini disokong oleh jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar yang semakin mengecil kepada 0.59 pada 2025 berbanding 0.65 tahun sebelumnya, mencerminkan usaha berterusan meningkatkan akses dan kualiti pendidikan di seluruh negeri,” katanya.
Omar berkata beberapa sekolah di kawasan pedalaman mencatatkan pencapaian cemerlang apabila mencapai 100 peratus kelayakan sijil SPM, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan, SMK Tutoh Apoh dan SMK T. Datuk Lawai Jau di Baram; SMK Agama Igan dan SMK Batang Igan di Dalat; SMK Belawai di Daro; SMK Nanga Dap di Kanowit serta SMK Balleh di Kapit.
Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pendidikan negeri Megat Affandi Ismail berkata nilai GPN ialah 4.57 berbanding 4.61 pada 2024 yang merupakan rekod terbaik sejak 2014.
Beliau berkata bilangan calon yang mendaftar SPM 2025 sebanyak 16,194 calon manakala bilangan mereka yang menduduki peperiksaan 15,947 calon, meningkat 2.18 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah Layak Mendapat Sijil juga meningkat kepada 14,887 calon berbanding 14,494 calon pada 2024, sekali gus mengekalkan trend peningkatan selama lima tahun berturut-turut sejak 2021.
Di PAHANG, Pengarah Pendidikan Ahmad Zamri Md Isa berkata sebanyak 671 calon SPM 2025 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 595 calon pada 2024.
Beliau berkata GPN 2025 pula mencatatkan 4.08 berbanding 4.23 pada tahun sebelumnya.
Di KELANTAN, Pengarah Pendidikan negeri Siti Norina Muhamad berkata pencapaian GPN ialah 4.60 berbanding 4.62 pada 2024, iaitu meningkat sebanyak 0.02.
"Bilangan calon yang mendaftar SPM 2025 sebanyak 26,072 orang dan daripada jumlah itu, 11 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A+ dalam semua mata pelajaran,” katanya.
-- BERNAMA