Skip to main content

Dunia

Beban kesihatan mental global meningkat berganda sejak 1990 - Kajian

51595770900_kecelaruanmentalpe.jpg
Beban gangguan mental memuncak dalam kalangan belia berumur 15-19 tahun, dengan wanita mempunyai kadar yang lebih tinggi daripada lelaki, kata Profesor Madya Damian Santomauro dari Pusat Kesihatan Awam UQ. - Gambar hiasan

SYDNEY: Gangguan mental telah menjadi punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia, mengatasi kanser dan penyakit kardiovaskular, menurut satu kenyataan daripada Universiti Queensland (UQ) Australia pada Jumaat, lapor Xinhua.

Kajian yang diketuai UQ, Pusat Penyelidikan Kesihatan Mental Queensland dan Universiti Washington di Amerika Syarikat mendapati, hampir 1.2 bilion orang di seluruh dunia menghidap gangguan mental pada 2023, hampir dua kali ganda daripada jumlah yang dicatatkan pada 1990.

“Beban gangguan mental memuncak dalam kalangan belia berumur 15-19 tahun, dengan wanita mempunyai kadar yang lebih tinggi daripada lelaki," kata Profesor Madya Damian Santomauro dari Pusat Kesihatan Awam UQ.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam The Lancet mengkaji beban kesihatan 12 keadaan, termasuk kebimbangan, kemurungan, gangguan bipolar, skizofrenia, autisme, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif, gangguan pemakanan dan menjejaki trend global dari 1990 hingga 2023.

Pengkaji menggunakan metrik tahun hayat pelarasan ketidakupayaan (DALY) untuk menganalisis beban gangguan mental, dengan satu DALY mewakili satu tahun kehilangan kehidupan sihat.

Gangguan mental disenaraikan sebagai penyebab utama kelima DALY pada 2023, meningkat daripada ke-12 pada 1990, didorong sebahagian besarnya oleh peningkatan dalam gangguan kebimbangan dan kemurungan teruk, menurut kajian itu.

Para penyelidik mengaitkan trend itu dengan pelbagai faktor gabungan, termasuk penganiayaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, genetik, peningkatan ketidaksamaan, perubahan iklim, wabak dan konflik, di samping kualiti dan ketersediaan data.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement