KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan bahawa tindakan pendakwaan di mahkamah perlu diambil tanpa sebarang kelewatan sekiranya wujud bukti kukuh berhubung dakwaan dalam skandal NexG yang melibatkan ahli perniagaan Victor Chin Boon Long dan isterinya, Chan Swee Ying.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata ketegasan itu penting bagi memastikan keadilan ditegakkan serta memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
“Jika terdapat asas bukti mencukupi, tindakan tegas termasuk pendakwaan hendaklah dilaksanakan segera.
"Namun, prinsip keadilan mesti dipelihara dan tiada individu boleh dihukum hanya berdasarkan persepsi awam atau tekanan media tanpa melalui proses undang-undang yang sah dan telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata isu berkenaan bukan sahaja menyentuh integriti sektor korporat, malah memberi kesan langsung terhadap imej negara, keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.
Sehubungan itu, Jais menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberi keutamaan kepada siasatan yang menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh.
Beliau menambah bahawa jika wujud risiko gangguan terhadap saksi, bukti atau kemungkinan melarikan diri, pihak berkuasa wajar mempertimbang langkah pencegahan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, kes itu tidak harus dilihat sebagai pertikaian korporat semata-mata kerana ia turut melibatkan aspek tadbir urus, integriti pasaran modal dan kredibiliti penguatkuasaan negara.
“Sebarang persepsi mengenai kewujudan ‘mafia korporat’ atau campur tangan luar, jika tidak ditangani dengan tegas, boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat global,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara bebas dan profesional tanpa sebarang kelewatan atau layanan istimewa.
Pada Selasa, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, melabel Victor Chin Boon Long sebagai 'syaitan korporat' dalam satu sidang media khas bagi menafikan pembabitannya dalam skandal 'Mafia Korporat'.
Beliau menyifatkan dakwaan ahli perniagaan itu sebagai satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada siasatan pihak berkuasa.
Kontroversi ini turut berkisar kepada transaksi saham MMAG Holdings Bhd melibatkan isteri Victor Chin, Chan Swee Ying, yang dilapor melupuskan 9.53 peratus kepentingan (220 juta saham) bernilai RM88.22 juta kepada NexG Bhd.
Ramanan mencabar Victor Chin untuk mendedahkan bukti kukuh berhubung dakwaan bayaran RM9.5 juta kepada seorang ahli politik bergelar 'Mr R' bagi menyelesaikan isu syarikat tersebut.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengesahkan pihak berkuasa sedang menjejaki Victor Chin susulan dakwaan penglibatannya dalam sindiket pengambilalihan paksa syarikat.