Skip to main content

Malaysia

Krisis bekalan global: 7,057 orang hilang kerja pada April, sektor penerbangan merosot - Menteri Ekonomi

Sumber: Kementerian Ekonomi
Tegas Akmal, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan asas mencukupi, mengawal tekanan harga serta melindungi pekerjaan rakyat. - Kementerian Ekonomi

PUTRAJAYA: Seramai 7,057 pekerja negara ini dilaporkan hilang pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 orang pada Mac.  

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bagaimanapun berkata, angka itu lebih rendah berbanding awal tahun iaitu Januari apabila seramai 10,658 orang hilang pekerjaan dan Februari sejumlah 7,512 orang.

“Setiap satu angka itu adalah satu keluarga yang hilang punca pendapatan.

"Kerajaan akan pastikan Sistem Insurans Pekerjaan iaitu SIP atau LINDUNG Kerjaya di bawah PERKESO berfungsi dengan pantas untuk membantu mereka," katanya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 12, pada Isnin.

Seterusnya, Akmal berkata sektor penerbangan turut menerima tekanan ketara susulan peningkatan kos operasi dan gangguan laluan antarabangsa.

"Pergerakan pesawat harian pada April 2026 merosot 31.5 peratus kepada 2,464 pesawat susulan pembatalan laluan Asia Barat.

"Pengendalian kargo udara antarabangsa turut menurun 14.3 peratus kepada 1,784 kilogram, manakala kargo udara domestik susut 18 peratus kepada 420 kilogram akibat lonjakan kos bahan api dan pelarasan operasi syarikat penerbangan.  

"Namun aktiviti perdagangan maritim dan rantaian bekalan negara masih berjalan baik apabila pengendalian kargo harian melonjak 8.3 peratus kepada 848.9 ribu freight weight tonnes (FWT).

"Manakala kontena meningkat 8.3 peratus kepada 93.1 ribu Twenty-foot Equivalent Unit (TEUs) setakat April 2026," jelas Akmal.

Menyentuh isu kos sara hidup, Akmal mengakui rakyat terus berdepan tekanan kenaikan harga bahan mentah tertentu walaupun secara keseluruhan harga makanan domestik masih terkawal.  

"Harga daging lembu menunjukkan penurunan sebanyak dua peratus kepada RM38.45 sekilogram, namun harga sawi meningkat 3.6 peratus kepada RM7.08 sekilogram.  

“Walaupun begitu, terdapat kawasan dan premis perniagaan yang menawarkan harga barangan lebih rendah. Oleh itu, kepada peniaga, kita minta jangan ambil kesempatan. Kerajaan akan terus membuat pemantauan dan penguatkuasaan.

"Kepada rakyat, kita minta gunakan aplikasi PriceCatcher. Bandingkan harga, jadi pengguna yang bijak kerana kuasa membeli ada di tangan anda,” katanya.  

Tegas Akmal, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan asas mencukupi, mengawal tekanan harga serta melindungi pekerjaan rakyat.  

“Sebarang intervensi dasar akan dilaksanakan secara berhati-hati, bersasar dan berasaskan data. Bantuan mesti sampai kepada pihak yang terkesan, pada masa yang tepat dan dalam bentuk yang paling berkesan,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement