Skip to main content

Malaysia

Skandal NexG: Abu Hanifah Noordin perlu beri maklumat penuh - Ahli akademik

NexG
Lembaga pengarah syarikat bertanggungjawab kepada pemilik syarikat dan pemegang taruhnya. Kalau pemegang taruh meminta penjelasan, lembaga pengarah kena beri penjelasan, kata Ahmed Razman - Foto/Website NexG

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NexG Bhd (NexG), Datuk Abu Hanifah Noordin, bertanggungjawab memberi maklumat penuh kepada lembaga pengarah syarikat berhubung kemelut yang melanda syarikat itu.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pihak lembaga syarikat pula perlu memaklumkan kepada pemilik syarikat iaitu pemegang saham, terutama melibatkan isu perbelanjaan RM303.7 juta.

“Jika pemegang saham NexG mahukan penjelasan mengenai isu terkini syarikat tersebut, ahli lembaga pengarah termasuk CEO harus mengadakan sesi taklimat dan maklum balas bersama pemegang saham syarikat.

“Sebagai pemilik syarikat NexG, pemegang saham boleh meminta lembaga pengarah syarikat untuk memberi penerangan tentang isu yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ditanya sama ada langkah memberi penjelasan berhubung isu NexG perlu kerana melibatkan kepentingan negara, khususnya kontrak pembekalan MyKad dan dokumen strategik lain, Ahmed Razman berkata, ia bergantung kepada pihak yang meminta penjelasan.

“Lembaga pengarah kena beri penjelasan kepada pemegang taruhnya.

“Lembaga pengarah syarikat bertanggungjawab kepada pemilik syarikat dan pemegang taruhnya. Kalau pemegang taruh meminta penjelasan, lembaga pengarah kena beri penjelasan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius dakwaan bahawa Victor Chin Boon telah meninggalkan negara ketika siasatan sedang dijalankan berhubung perbelanjaan RM303.7 juta melibatkan syarikat NexG Bhd.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, jika benar, perkembangan itu menimbulkan persoalan terhadap tahap pematuhan undang-undang, kawalan dalaman syarikat serta keberkesanan mekanisme pemantauan pihak berkuasa.
 

Must Watch Video