WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bersedia untuk menurunkan unjuran pertumbuhan global berikutan kejutan ekonomi akibat peperangan di Asia Barat, kata Pengarah Urusannya Kristalina Georgieva, lapor agensi berita Jerman dpa.
Menerusi teks ucapan yang disediakan untuk hari Khamis, Georgieva berkata walaupun dalam senario paling optimistik, IMF kini menjangkakan semakan menurun terhadap pertumbuhan ekonomi dunia.
Beliau menjelaskan bahawa tanpa gangguan bekalan - terutamanya melibatkan minyak dan gas di Teluk - prospek ekonomi sepatutnya lebih kukuh. Unjuran terkini dijadualkan akan dikeluarkan pada Selasa ini.
Pada Januari lepas, IMF mengunjurkan pertumbuhan global sebanyak 3.3 peratus bagi tahun ini, dengan zon Euro diramal meningkat 1.3 peratus manakala Amerika Syarikat sebanyak 2.4 peratus.
"Walaupun dalam keadaan terbaik, tidak akan ada kepulangan yang mudah dan bersih kepada status quo asal," katanya merujuk kepada peperangan yang bermula pada 28 Feb dengan serangan AS dan Israel ke atas Iran.
"Apa yang kita tahu ialah pertumbuhan akan menjadi lebih perlahan - walaupun sekiranya perdamaian baharu itu berkekalan."
Georgieva turut memberi amaran bahawa ketidaktentuan masih menyelubungi keselamatan laluan perkapalan utama, termasuk Selat Hormuz. Laluan air itu adalah kritikal bagi perdagangan minyak dan gas global, serta komoditi utama lain seperti baja.
Beliau juga menyatakan bahawa aktiviti perkapalan melalui Selat Bab el-Mandeb kekal pada tahap kira-kira separuh daripada paras 2023, susulan serangan berterusan ke atas kapal komersial oleh tentera Houthi yang berpangkalan di Yaman, sehingga memerlukan pengiring tentera laut antarabangsa.
Lonjakan harga tenaga yang dicetuskan oleh gangguan berkenaan telah pun mendorong institusi lain untuk menyemak semula unjuran mereka. Institut ekonomi Jerman pada minggu lepas mengurangkan unjuran pertumbuhan 2026 bagi ekonomi terbesar Eropah itu kepada 0.6 peratus, turun daripada 1.3 peratus enam bulan lepas.
--BERNAMA-dpa