Skip to main content

Dunia

'Anda idola saya' - PM Jepun sambut kunjungan Deep Purple menjelang konsert jelajah Mad In Japan Tour

https://www.facebook.com/photo/?fbid=1474825417340820&set=pcb.1474825454007483
Takaichi, 65, yang dikenali sebagai peminat setia muzik hard rock, menyifatkan pertemuan itu sebagai satu detik istimewa memandangkan beliau pernah aktif bermain dram ketika zaman universiti. -Foto Facebook Deep Purple

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, menzahirkan rasa teruja selepas menerima kunjungan hormat daripada kumpulan rock legenda Britain, Deep Purple, di pejabatnya, di sini, hari ini.

Takaichi, 65, yang dikenali sebagai peminat setia muzik hard rock, menyifatkan pertemuan itu sebagai satu detik istimewa memandangkan beliau pernah aktif bermain dram ketika zaman universiti.

Dalam pertemuan berkenaan, beliau turut menghadiahkan sepasang kayu dram jenama TAMA buatan Jepun yang ditandatangani olehnya kepada pemain dram kumpulan itu, Ian Paice.

Beliau secara berseloroh mengakui sangat meminati karya Deep Purple dan memiliki album Machine Head sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Anda adalah idola saya. Saya sering memainkan lagu ‘Burn’ menggunakan dram untuk melepaskan tekanan kerja,” katanya ketika menerima kunjungan tersebut. 

Pertemuan itu diadakan sempena siri jelajah Mad In Japan Tour 2026 oleh kumpulan berkenaan yang dijadualkan bermula di Nippon Budokan pada Sabtu.

Takaichi mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun selepas memenangi pilihan raya pada Oktober tahun lalu.

Sisi peribadi pemimpin itu yang meminati muzik heavy metal sering menjadi perhatian media antarabangsa dan dianggap sebagai satu keunikan dalam landskap kepimpinan politik negara matahari terbit itu.

Must Watch Video