Skip to main content

Malaysia

SIDSB jalankan kerja korek selut tangani isu navigasi nelayan Permatang Tepi Laut

BERNAMA
Kerja pengorekan bagi saluran navigasi yang dijalankan sejak sebulan itu dimulakan lebih awal daripada garis masa komitmen asal, iaitu selepas Pulau Silikon selesai ditebus guna. - Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB) menjalankan kerja pengorekan selut di Permatang Tepi Laut, di sini, lebih awal daripada jadual asal sebagai komitmen untuk menangani isu navigasi nelayan.

SIDSB dalam kenyataan memaklumkan langkah proaktif itu merupakan sebahagian daripada janji Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyelesaikan isu selut yang telah sekian lama membelenggu komuniti nelayan di kawasan berkenaan.

Kerja pengorekan bagi saluran navigasi yang dijalankan sejak sebulan itu dimulakan lebih awal daripada garis masa komitmen asal, iaitu selepas Pulau Silikon (pulau buatan manusia) selesai ditebus guna dan usaha tersebut diperkukuhkan lagi dengan kerja peritongan sementara di kawasan Permatang Tengah yang sedang giat dijalankan bagi memastikan kelancaran laluan bot nelayan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Pengurusan Pihak Berkepentingan SIDSB Azmi Mohamad berkata tindakan menyegerakan kerja pengorekan itu membuktikan pemaju serius dalam menjaga kepentingan komuniti setempat.

"Walaupun masalah selut tersebut merupakan isu berlarutan yang telah wujud sejak sekian lama, kami tetap komited untuk mewujudkan laluan navigasi yang lebih sempurna dan selamat untuk para nelayan.

"Memandangkan saiz kapal pengorek sedutan pemotong yang digunakan adalah besar, operasi pengorekan perlu dilaksanakan mengikut jadual pasang surut air bagi memastikan kerja berjalan dengan selamat dan lancar," katanya.

Azmi berkata pihak kontraktor turut bekerjasama rapat dengan Persatuan Komuniti Permatang Damar Laut untuk menjalankan kerja pembersihan pantai secara manual setiap hari sementara pasukan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) memantau keadaan tapak sebanyak dua kali sehari, iaitu sewaktu air pasang dan air surut bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal.

Beliau berkata kebajikan nelayan sentiasa menjadi teras melalui Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan sehingga kini seramai 148 nelayan telah menerima bot dan enjin baharu dengan anggaran kos RM13.32 juta manakala RM11.8 juta bayaran ex-gratia telah disalurkan kepada 795 nelayan.

Pulau Silikon, yang berkeluasan 930.78 hektar, ialah projek penambakan milik Pulau Pinang yang dibangunkan kerajaan negeri untuk menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video