KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 barangan keperluan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 yang akan berkuat kuasa selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah itu meningkat berbanding 26 barangan yang dikawal pada pelaksanaan skim sama tahun lalu, dengan penambahan satu barangan iaitu kacang dal (Australia).
Armizan berkata bagi Semenanjung Malaysia, sebanyak 24 barangan disenaraikan di bawah skim berkenaan dengan majoriti daripadanya mencatatkan penurunan atau kekal pada harga maksimum yang ditetapkan.
“Bagi Semenanjung Malaysia, terdapat penurunan harga maksimum bagi 13 jenis barangan berbanding tahun 2025, manakala sembilan jenis barangan dikekalkan dan hanya satu barangan mengalami kenaikan harga maksimum,” katanya dalam sidang media pelaksanaan SHMMP di ibu negara pada Selasa.
Barangan yang mencatat penurunan harga maksimum ialah daging kerbau import (India), sawi hijau, lobak merah (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), ubi kentang (China), halia tua import, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa.
Sementara itu, harga maksimum bagi sembilan barangan dikekalkan berbanding tahun lalu iaitu daging lembu tempatan, ikan aya atau tongkol, ikan kembung, ikan mabung, ikan selayang, kubis bulat import, timun, tomato, kacang panjang serta kacang tanah.
Hanya satu barangan mencatatkan kenaikan harga maksimum iaitu cili merah.
Dalam pada itu, beliau berkata di Sarawak, sebanyak 11 barangan mencatat penurunan harga maksimum manakala tiga barangan mengalami kenaikan harga maksimum iaitu kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa.
Bagi Sabah pula, sebanyak 12 barangan mencatat penurunan harga maksimum dan tiada barangan yang mengalami kenaikan harga di bawah skim berkenaan.
Armizan berkata secara keseluruhan, pelaksanaan SHMMP Aidilfitri tahun ini menunjukkan trend harga yang lebih stabil berbanding tahun lalu.
“Alhamdulillah pada tahun ini bukan sahaja kita dapat meneruskan pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan Aidilfitri, malah sebahagian besar harga siling barangan berjaya diturunkan dan ada yang dikekalkan.
“Kenaikan hanya melibatkan beberapa barangan tertentu yang dipengaruhi faktor bekalan luar negara dan keadaan cuaca, khususnya bagi barangan yang diimport,” katanya.
Beliau menambah, skim tersebut diperkenalkan bagi memastikan harga barangan kekal terkawal ketika permintaan meningkat menjelang dan sepanjang musim perayaan.
“Kerajaan memperkenalkan skim ini bagi memastikan apabila permintaan meningkat menjelang perayaan, ia tidak menyebabkan kenaikan harga yang tidak munasabah.
“Kita juga telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi, termasuk bekalan yang diimport,” katanya.
SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.