KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah dari Mahkamah Sesyen ke mahkamah itu.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad mewakili Shamsul Iskandar memaklumkan kepada Hakim Suzana Hussin bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu di Mahkamah Rayuan pada 6 Mei lepas.
Pada 28 April lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin menolak permohonan tersebut kerana tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
Ditanya Suzana sama ada pihak pembelaan berhasrat untuk memohon prosiding kes itu ditangguhkan, Amer Hamzah menjawab, pihaknya belum memuktamadkan perkara itu.
“Buat masa ini, kami ikut prosiding sedia ada dan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berkata pihaknya telah menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan, namun sebahagiannya akan diserahkan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.
Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes pada 29 Jun depan.
Shamsul Iskandar, 51, didakwa atas dua pertuduhan bersetuju menerima suapan untuk dirinya, iaitu wang tunai RM140,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau turut dikenali sebagai Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat milik Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Dia turut didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu memperoleh untuk dirinya satu suapan berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini; serta di Jalan P14A 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Dis 2023 hingga 31 Jan 2024, serta antara 24 Nov 2023 hingga 5 Mac 2024.
Shamsul Iskandar turut didakwa atas satu pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur daripada Tei, bagi membantu syarikat milik Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA