Skip to main content

Malaysia

Seorang maut, beberapa rakan cedera ditetak di Buntong

TETAK BUNTONG
Seorang lelaki tempatan ditemui dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kecederaan parah, dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam. - Foto PDRM

IPOH: Seorang maut ditetak manakala beberapa rakannya turut cedera selepas diserang sekumpulan individu dalam kejadian di Buntong, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 11.10 malam, sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan ditemui dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kecederaan parah, dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam.

“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu berada di sebuah premis sewa kereta bersama rakan-rakan sebelum didatangi sekumpulan suspek yang bertindak menyerang menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, dalam kejadian tersebut, beberapa rakan mangsa turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan telah ditangkap bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan usaha mengesan serta menangkap suspek lain masih giat dijalankan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302/326/148 Kanun Keseksaan kerana membunuh, mendatangkan kecederaan dan merusuh.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Must Watch Video