JAKARTA: Bank Indonesia (BI) sedang mengoptimumkan penggunaan instrumen operasi monetarinya dan secara aktif mengambil bahagian dalam pasaran semerta serta pasaran niaga hadapan domestik untuk memperkukuh nilai rupiah.
Hal ini berikutan nilai rupiah melemah melebihi paras 17,000 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan oleh peningkatan ketidaktentuan global.
Timbalan Gabenor Kanannya Destry Damayanti berkata mengekalkan kestabilan kadar pertukaran asing menjadi keutamaan apabila tekanan luaran semakin meningkat.
"Di tengah-tengah ketidaktentuan global yang tinggi, kestabilan kini menjadi keutamaan bagi BI," katanya menurut agensi berita ANTARA pada Selasa.
Destry berkata BI secara konsisten terlibat dalam pasaran wang termasuk pasaran semerta dan kontrak niaga hadapan tanpa serahan domestik (DNDF) di pasaran domestik serta kontrak niaga hadapan tanpa serahan (NDF) di pasaran luar pesisir.
Beliau berkata kesan konflik Asia Barat adalah bersifat dua hala.
Katanya, harga komoditi yang lebih tinggi dan kedudukan Indonesia sebagai pengeksport boleh memberi kesan positif kepada ekonomi selain membantu mengimbangi tekanan ke atas rupiah yang timbul daripada peningkatan konflik berkenaan.
Menurut data pasaran, rupiah ditutup pada 17,105 berbanding dolar AS pada Selasa, melemah sebanyak 70 mata atau 0.41 peratus daripada penutupan sebelumnya iaitu pada 16,980 manakala kadar dolar semerta antara bank Jakarta (JISDOR) BI juga melemah kepada 17,092 daripada 17,037 sebelumnya.
BI berkata ia akan menyelaraskan instrumen intervensinya sebagai tindak balas kepada tiga kemungkinan senario yang berpunca daripada konflik Asia Barat, bergantung kepada trajektori harga minyak global.
Dalam pada itu, Gabenor BI Perry Warjiyo berkata pada 17 Mac bahawa tindak balas dasar ini diperkukuh dengan mengekalkan rizab pertukaran asing yang mencukupi dan disokong oleh dasar kadar faedah.
Data terkini daripada Statistik Indonesia menunjukkan negara republik itu mencatatkan lebihan dagangan sebanyak AS$1.27 bilion pada Februari 2026, meningkat daripada AS$0.95 bilion pada Januari.
Secara berasingan, BI melaporkan rizab pertukaran asing berada pada AS$151.9 bilion pada akhir Februari 2026 yang setara dengan 6.1 bulan import atau 5.9 bulan import serta pembayaran hutang luar kerajaan, jauh melebihi piawaian kecukupan antarabangsa.
-- BERNAMA