OSAKA: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut manakala dua lagi cedera selepas mereka ditikam di kawasan beli-belah Dotonbori yang sibuk, lewat Sabtu malam, menurut polis seperti dilaporkan Kyodo News.
Seorang suspek lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan pada Ahad kerana disyaki membunuh selepas dia meloloskan diri dari lokasi kejadian dengan berjalan kaki, menurut sumber siasatan. Menurut polis, mereka dimaklumkan yang suspek mengenali ketiga-tiga remaja lelaki itu dan berlaku pergaduhan sejurus sebelum serangan.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ryunosuke Kamada dari Tawaramoto, Wilayah Nara, mengalami beberapa kesan tikaman termasuk di bahagian dada, manakala dua lagi remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami kecederaan di bahagian atas badan, menurut polis Osaka.
Polis menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.55 malam yang melaporkan beberapa individu ditikam di tingkat satu sebuah bangunan yang terletak di kawasan yang mempunyai banyak restoran.
-- BERNAMA-KYODO