Skip to main content

Malaysia

Selangor umum pasukan petugas khas tangani cabaran semasa selewatnya Isnin - MB

SHAH ALAM, 3 April -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amirudin menyampaikan ucapan pada Majlis Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 hari ini. - Foro Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas selewat-lewatnya Isnin ini bagi menangani cabaran semasa dan kesannya terhadap kehidupan rakyat susulan krisis tenaga global. 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat bagi memuktamadkan penubuhan pasukan itu akan diadakan hari ini dengan mengambil kira keanggotaan daripada pakar pelbagai bidang termasuk ekonomi, kewangan serta industri seperti minyak dan gas. 

Beliau berkata cadangan program dan aktiviti pula akan dikemukakan jabatan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebelum diteliti dari segi pelaksanaan oleh pasukan tersebut.

“Pasukan petugas khas ini dijangka memberi tumpuan kepada aspek kelangsungan hidup rakyat serta kelestarian ekonomi negeri terutama dalam menghadapi potensi risiko berkaitan bekalan makanan dan tenaga.

“Pendekatan yang diambil juga akan diselaraskan dengan langkah Kerajaan Persekutuan termasuk dasar seperti bekerja dari rumah bagi memastikan keseragaman pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Ditanya mengenai amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam mesyuarat khas semalam, Amirudin berkata ia merangkumi jaminan bekalan asas serta risiko yang mungkin dihadapi negara selain menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan bulan ini akan berlangsung seperti biasa kerana setakat ini tiada keperluan untuk langkah luar biasa seperti darurat manakala aktiviti pentadbiran serta program kerajaan negeri juga akan berjalan seperti biasa.

“Yang penting sekarang adalah memberi penjelasan kepada rakyat tentang langkah-langkah yang telah dan akan diambil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video