Skip to main content

Malaysia

Selangor beri lanjutan kosongkan tapak nurseri hingga Ogos

SHAH ALAM, 21 April -- Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Datuk Ir Izham Hashim (kanan) semasa sidang media mengenai kelonggaran pengosongan tapak nurseri Jalan Sungai Buloh di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini
Izham (kanan) semasa sidang media mengenai kelonggaran pengosongan tapak nurseri Jalan Sungai Buloh di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini. - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memberi tempoh lanjutan sehingga Ogos kepada pengusaha nurseri di sepanjang Jalan Sungai Buloh untuk mengosongkan tapak sebelum projek pelebaran jalan bertingkat di KWASA Damansara bermula pada September.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata keputusan itu susulan rayuan pengusaha dan keperluan menyediakan tempoh peralihan yang lebih munasabah sebelum pembangunan dilaksanakan.

“Notis pengosongan tapak dikeluarkan pada 18 April 2019 diikuti pelaksanaan projek pembinaan jalan bertingkat KWASA Damansara pada 1 Jan 2020 sebagai sebahagian inisiatif memperkukuh rangkaian infrastruktur negeri manakala notis terakhir pada Disember 2021.

“Tiada pilihan untuk mengekalkan operasi di situ kerana kawasan berkenaan akan dibangunkan. Namun kerajaan negeri mengambil pendekatan memberi kelonggaran sehingga Ogos,” katanya pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Izham berkata sebanyak 38 pengusaha membabitkan 66 plot terlibat dalam pengosongan itu, dengan sebahagian mereka mempunyai lebih daripada satu lot.

Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2021 telah memutuskan pemindahan pengusaha ke tapak alternatif di Bukit Changgang, Kuala Langat sebagai penyelesaian jangka panjang dengan sebahagian pengusaha bersetuju dan telah membuat bayaran deposit.

Bagaimanapun, penelitian terperinci jawatankuasa teknikal mendapati tapak itu tidak sesuai untuk pembangunan nurseri berikutan keadaan tanah yang sering ditakungi air dan memerlukan kos penambahbaikan tinggi yang dianggarkan mencecah RM10 juta.

Susulan itu, kerajaan negeri memulangkan bayaran deposit kepada pengusaha bagi cadangan tapak yang tidak diteruskan kecuali beberapa plot yang masih dalam proses teknikal oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Izham berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan pragmatik dan berperikemanusiaan dengan menyediakan bayaran ex gratia RM10,000 bagi setiap plot sebagai langkah penyelesaian serta sokongan kepada pengusaha terjejas.

Setakat ini, beliau berkata RM660,000 telah diperuntukkan bagi tujuan itu, namun terdapat 14 lot belum menuntut bayaran itu.

Dalam pada itu, semasa ditanya mengenai isu banjir, beliau berkata perkara itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh empat tahun lagi menerusi Projek Mitigasi Banjir Selangor yang sedang disiapkan. 

Izham berkata buat masa ini, beberapa kerja mendalamkan sungai di bawah projek itu sedang berjalan dan langkah menyelesaikan banjir memerlukan masa untuk disiapkan

 Beliau berkata Selangor telah menggunakan teknologi pengurusan air moden dari Belanda, China dan Jerman bagi menangani banjir namun keberkesanan teknologi itu dilihat kurang kerana negeri ini memiliki taburan hujan tinggi selain menghadapi pembangunan bandar lebih pesat.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menasihatkan kerajaan negeri supaya memberi keutamaan penuh terhadap usaha menangani masalah banjir dengan perancangan rapi dan tindakan segera yang lebih berkesan.

-- BERNAMA

Must Watch Video