KOTA TINGGI: “Saya telefon ibu, ayah dan adik banyak kali, akhirnya anggota polis yang jawab dan beritahu keluarga saya terbabit kemalangan.”
Demikian kata Mohd Izat Kamilin, 22, anak kedua daripada empat beradik yang kehilangan ibu, Rubeta Mohd, 51, serta adik perempuannya, Nur Isyirah Syakirah, 14, dalam nahas membabitkan dua buah kereta di kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Jumaat.
Bapanya, Kamilin Alias, 56, yang memandu kereta Proton Persona dilaporkan kritikal dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Menurutnya, ibu bapanya bersama adik dalam perjalanan pulang dari Mersing selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka.
"Mereka bertiga bergerak pada awal pagi sekitar jam 8 pagi. Saya sempat jumpa ibu sebelum saya keluar bekerja di kilang di Desa Cemerlang Johor Bahru.
"Saya tunggu mereka balik di rumah selepas pulang bekerja pada jam 6 petang. Bila lama tak sampai, saya cuba hubungi ibu, ayah dan adik berkali-kali.
“Sekali panggilan dijawab, polis memaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan.
"Saya terus beritahu ahli keluarga lain sebelum kami bergegas ke hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Izat memberitahu dia difahamkan, kereta dipandu bapanya itu berkonvoi dengan kereta ibu saudaranya ketika pulang dari Mersing.
"Kira-kira jam 4 petang, ibu saudara yang juga adik kepada ibu saya ada menghubungi ibu dan tanya mereka di mana kerana tak nampak kereta.
"Diberitahu kereta ibu berhenti sekejap di Sungai Ara kerana hujan lebat. Selepas dari itu, ibu saudara kata memang dah tak dapat hubungi ibu lagi," katanya
Bercerita lanjut, Mohd Izat berkata, ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan namun adiknya sejak seminggu lalu dilihat lebih tenang dan tidak melawan seperti selalu apabila diusiknya.
"Adik nampak lain, dia senyum sahaja tidak seperti lalu mesti dia balas semula jika saya kacau dia.
"Sikapnya memang berubah dari biasa. Dia juga ada belanja saya air, biasanya dia minta kita belanja tapi kali ini dia yang hendak belanja. Kami adik beradik memang rapat," katanya lagi.
Tambahnya jenazah ibu dan adiknya itu dikebumikan di dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam pada Sabtu.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada jam 7.15 petang semalam melibatkan kereta Proton Persona dinaiki sebuah keluarga dan sebuah Perodua Bezza.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Pesona masuk laluan bertentangan lalu bertembung Perodua Bezza.
Menurutnya akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penumpang Proton Persona telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta mengalami kecederaan parah. -- Sinar Harian