ANKARA: Sekurang-kurangnya 31 aktivis cedera semasa Israel memintas Flotila Global Sumud yang menuju ke Gaza di perairan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi menurut kenyataan kumpulan itu.
Jawatankuasa Flotila Global Sumud memaklumkan mereka yang cedera termasuk aktivis dari pelbagai negara, antaranya masing-masing empat dari New Zealand dan Australia; masing-masing tiga dari Itali dan Amerika Syarikat (AS); masing-masing dua dari Kanada, Belanda, Sepanyol, United Kingdom, Colombia dan Jerman; serta masing-masing seorang dari Hungary, Ukraine, Perancis, Poland dan Portugal.
Seorang daripada yang cedera memiliki kewarganegaraan dwi Turkiye-Jerman, manakala usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti tiga lagi penumpang, tambahnya.
Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu memaklumkan aktivis yang ditahan semasa pintasan berkenaan dikenakan layanan buruk di atas kapal tentera laut Israel selama hampir 40 jam.
Menurut kumpulan itu, tahanan sengaja tidak diberikan bekalan air dan makanan yang mencukupi serta dipaksa tidur di atas lantai yang basah.
Ia juga menyatakan peserta yang cuba menghalang penahanan Saif Abukeshek, warga Sepanyol berketurunan Palestin, dan warga Brazil Thiago Avila berdepan tindakan kekerasan oleh tentera Israel.
Seorang aktivis menggambarkan kejadian itu dengan berkata: “Seperti yang anda lihat, hidung saya mungkin patah. Tulang rusuk saya sakit; mungkin juga patah. Saya tidak pasti. Leher saya juga. Mereka menendang kami, menumbuk kami dan menyeret kami di atas tanah, malah kami turut mendengar tembakan dilepaskan ke arah orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud diserang berhampiran pulau Crete di Greece, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka di Semenanjung Gaza yang terjejas akibat sekatan.
Kapal pertama flotila yang membawa bantuan kemanusiaan berlepas dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama memulakan pelayaran dari pulau Sicily di Itali pada 26 April, dengan tujuan memecahkan sekatan berpanjangan Israel terhadap Gaza.
Israel mengenakan sekatan ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Israel melancarkan serangan selama dua tahun di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar di seluruh wilayah yang dikepung itu.
-- BERNAMA-ANADOLU