MEKAH: “Setiap hari saya berdoa, mudahkan urusan saya dan jadikan saya tetamu VVIP Allah.”
Itu antara doa jemaah haji Malaysia, Zalipah Md Alwi, 73, yang datang seorang diri ke Mekah dan impiannya untuk menunaikan ibadah haji akhirnya menjadi kenyataan selepas lama menanti.
“Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan. Saya cuma doa nak jadi tetamu VVIP Allah. Bila urusan dipermudahkan, rasa sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui, di sini.
Bagi Zalipah, doa menjadi “tetamu VVIP Allah” bukan bermaksud kemewahan, sebaliknya beliau berharap segala urusan ibadah dipermudahkan sepanjang berada di Tanah Suci.
Warga emas itu optimis apabila seseorang itu berserah sepenuhnya kepada Allah, setiap perjalanan dan urusan akan dibantu dengan cara yang tidak disangka-sangka.
“Kalau kita doa sungguh-sungguh, Allah dengar. Saya selalu doa supaya dipermudahkan semuanya, dapat pergi masjid dengan mudah, dapat buat ibadah dengan tenang dan sihat,” katanya.
Menurutnya, walaupun datang seorang diri, dia tidak pernah rasa keseorangan kerana yakin Allah sentiasa menjaga dan mempermudahkan urusannya sepanjang di Mekah dan Madinah.
“Saya datang seorang, tapi saya rasa Allah mudahkan urusan saya. Kawan-kawan pun baik, perjalanan pun dipermudahkan. Itu yang saya maksudkan jadi tetamu VVIP Allah,” katanya.
Zalipah berkata, pengalaman berada di Madinah memberi ketenangan yang sukar digambarkan, apatah lagi selepas hasrat untuk ke Tanah Suci tertangguh beberapa kali.
“Sampai di Madinah rasa seronok dan tenang. Memang niat saya nak datang ke sini. Bila dapat tahu terpilih, saya menangis, terlalu bersyukur,” katanya.
Zalipah pernah menyimpan impian menunaikan haji sejak berusia 40 tahun, namun belum berkesempatan kerana pelbagai kekangan termasuk menjaga ibunya yang sakit.
Katanya, pemergian ibunya akibat COVID-19 menjadi antara detik paling berat dalam hidup, namun beliau reda dan percaya setiap ketentuan Allah mempunyai hikmah.
“Saya selalu bergantung kepada Allah. Apa-apa pun kita serah kepada Dia. Doa itu penting. Kalau diuji, kita sabar,” ujar Zalipah menyambung perbualan.
Dalam masa sama, Zalipah turut berkongsi pengalaman pahit apabila pernah kerugian RM14,000 selepas ditipu individu yang menawarkan urusan umrah secara tidak rasmi.
Menurutnya, individu terbabit pada mulanya berbaik-baik dengan mereka sebelum meminta bayaran secara berperingkat.
“Dia baik dengan kami, bawa makan, ajak ke rumah. Mula-mula bayar RM3,000, kemudian tambah lagi sampai RM14,000 untuk dua orang.
“Lama-lama kami rasa pelik sebab duit masuk ke akaun dia saja. Agensi pun tak jelas. Akhirnya kami sedar kena tipu,” katanya.
Sehubungan itu, Zalipah menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran umrah atau haji yang tidak melalui saluran sah.
“Jangan mudah percaya walaupun orang itu nampak baik. Kalau nak pergi umrah atau haji, ikutlah saluran yang boleh dipercayai,” katanya.
Katanya, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadikan beliau lebih yakin bahawa rezeki untuk menjadi tetamu Allah akan tiba pada waktunya.