Skip to main content

Malaysia

Sama-Sama Hotel KLIA terima pensijilan hotel hijau MOTAC

 Sama-Sama Hotels
Pengiktirafan itu mencerminkan pelaksanaan menyeluruh amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi hotel berkenaan. - Foto Facebook/Sama-Sama Hotels

SEPANG: Sama-Sama Hotel KLIA muncul hotel pertama di Selangor menerima Pensijilan Hotel Hijau daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha kelestariannya.

Pengiktirafan itu mencerminkan pelaksanaan menyeluruh amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi hotel berkenaan.

Sijil tersebut disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling kepada Pengurus Besar Sama-Sama Hotel KLIA Sundra Kulendra bersempena dengan sambutan Hari Bumi di sini, malam tadi.

Mengenai pensijilan itu, Sundra berkata kelestarian bukan lagi satu pilihan dalam industri perhotelan, sebaliknya tanggungjawab yang perlu dipikul semua pihak.

“Penerimaan Pensijilan Hotel Hijau daripada MOTAC mengesahkan bahawa perjalanan ESG kami berada di landasan yang tepat.

“Pada Hari Bumi yang bermakna, kami berbangga untuk meraikan pencapaian ini sambil berkongsi dengan komuniti melalui inisiatif inklusif melibatkan kanak-kanak autistik serta satu momen light-off simbolik yang melambangkan komitmen bersama kita terhadap planet ini,” katanya kepada Bernama.

Bersempena dengan sambutan Hari Bumi, Sama-Sama Hotel KLIA turut mengadakan momen simbolik pemadaman lampu malam selama satu jam, dengan para tetamu digalakkan turut serta, sebelum ruang kembali diterangi cahaya lembut bersama suasana lilin yang dipegang peserta.

Hotel itu juga mempamerkan karya seni hasil 15 kanak-kanak autistik yang menghasilkan lukisan bertemakan Hari Bumi atas beg kertas putih, mencerminkan pendekatan inklusif dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar melalui kreativiti dan pendidikan.

Sebagai hotel pintu masuk yang bersambung terus dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sama-Sama Hotel KLIA meletakkan kelestarian bukan sekadar inisiatif berasingan, sebaliknya sebagai falsafah operasi jangka panjang yang diterapkan dalam semua jabatan.

Antara inisiatif utamanya ialah program penguraian sisa makanan, iaitu semua sisa makanan daripada dapur diproses menggunakan mesin pengurai dan ditukar menjadi baja organik, yang kemudiannya diagihkan kepada tetamu serta komuniti setempat.

Selaras dengan pendekatan sifar sisa, Jabatan Makanan dan Minuman Sama-Sama Hotel KLIA telah melaksanakan dasar sifar penggunaan plastik sekali guna, dengan menggantikan bahan plastik kepada alternatif boleh diguna semula serta terbiodegradasi, selain menggunakan bekas makanan yang boleh dikitar semula.

Hotel itu turut mengamalkan sistem pengasingan sisa yang teratur bagi memastikan proses rawatan, kitar semula dan pelupusan sisa dilakukan secara lebih bertanggungjawab.

Selain itu, operasi pengemasan (housekeeping) juga telah beralih kepada penggunaan penyelesaian pembersihan mesra alam tanpa bahan kimia, sekali gus mengurangkan pencemaran ke dalam sistem air serta meningkatkan kualiti udara dalam bangunan.

Hotel berkenaan merancang untuk memperkenalkan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) serta mengintegrasikan tenaga solar sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju kelestarian 2026, sejajar dengan agenda mobiliti hijau dan tenaga boleh baharu negara.

Di samping usaha alam sekitar, hotel itu turut memperkukuh tanggungjawab sosial melalui program berasaskan komuniti, latihan kelestarian kepada pekerja serta amalan tadbir urus telus yang selaras dengan standard pelancongan hijau negara.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video