Skip to main content

Malaysia

Salah faham kemalangan, pemandu bas dipukul di JRTB

Polis siasat insiden pemandu lori tumbuk pemandu bas
Tangkap layar rakaman video tular kejadian yang berlaku di Kilometer 28.8, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli pada Selasa. - Gambar/ Sinar Harian

IPOH: Seorang pemandu bas dipukul selepas terbabit dalam satu kemalangan kecil dipercayai berpunca daripada salah faham susulan kejadian itu di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli pada Selesa lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 4.46 petang melibatkan sebuah bas dan sebuah lori yang bergesel di Kilometer (km) 28.8 laluan tersebut.

“Hasil siasatan, pada hari kejadian 1.30 petang sebuah bas jenis Scania yang dipandu lelaki berumur 22 tahun dari arah Lumut ke Terengganu membawa seramai 20 orang penumpang telah bergesel dengan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu lelaki berumur 38 tahun dari arah Jeli ke Gerik.

“Kemalangan itu telah menyebabkan kerosakan cermin sisi bas dan tingkap sisi sebelah kanan lori selain pemandu bas meneruskan perjalanan kerana kawasan tersebut tidak sesuai untuk memberhentikan kenderaan,” katanya. 

Beliau berkata susulan itu, seorang lagi pemandu lori berusia 49 tahun yang menyaksikan kejadian bertindak menghubungi rakan pemandu lain bagi menahan bas terbabit.

“Setelah bas berjaya ditahan di JRTB lebih kurang enam kilometer menghala ke hentian Titiwangsa Gerik ke Jeli, pemandu kedua keluar dari bas dan pemandu lori berumur 49 tahun itu telah bertindak menumbuk bahagian pipi sebelah kanan.

“Ekoran daripada kejadian kemalangan yang berlaku, pemandu kedua bas telah menerima rawatan di Hospital Gerik serta dibenarkan pulang,” katanya.

Abdul Samad berkata pihak bas dan lori yang terlibat telah tampil untuk siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik serta kedua-dua pihak memberi kerjasama dengan kes masih dalam siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, insiden itu tular di media sosial yang memaparkan sebuah bas dan lori yang membawa muatan ayam bergesel di laluan dipercayai JRTB Gerik–Jeli dan kemudian sekumpulan lelaki yang didakwa pemandu lori ayam telah berkumpul di satu lokasi dan bertemu dengan pemandu bas tersebut. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video