TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan tenaga melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil, mampan dan berdaya tahan demi menyokong pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong langkah yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta menambah baik infrastruktur bekalan elektrik di Sabah.
"Usaha berterusan itu merangkumi peningkatan keupayaan penjanaan tenaga, pengukuhan rangkaian penghantaran dan pengagihan serta penambahbaikan mutu perkhidmatan kepada pengguna di seluruh negeri. Komitmen ini seiring dengan misi kerajaan negeri untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan Sabah serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
“Dalam konteks ini, kerajaan negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah dan agensi berkaitan melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan bersama Ketua Menteri di pekarangan Masjid At-Taqwa, Perumahan Laya-Laya, di sini hari ini.
Hajiji berkata antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan projek penjanaan tenaga baharu yang melibatkan campuran sumber tenaga lebih pelbagai.
Katanya, perkara itu termasuk penggunaan loji jana kuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, di samping pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan angin serta penggunaan teknologi penyimpanan tenaga moden termasuk Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri dan hidro simpanan pam.
Dalam pada itu, beliau berkata Projek Penyambungan Grid Kuasa Sabah–Sarawak yang dilancarkan pada awal tahun ini dijangka memperkukuh lagi kestabilan sistem bekalan elektrik di negeri ini.
Projek itu, katanya, bukan sahaja menjadikan bekalan tenaga lebih stabil dan boleh dipercayai, tetapi juga membantu mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat.
“Pada masa sama, ia turut meningkatkan margin rizab elektrik Sabah serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata pelancaran Projek Solar 15 megawatt (MW) di Tuaran baru-baru ini juga menjadi langkah penting dalam transformasi struktur tenaga Sabah.
Beliau berkata projek berkenaan bukan sahaja menambah kapasiti tenaga kepada sistem bekalan elektrik negeri, malah selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP2040) yang memberikan penekanan kepada pembangunan tenaga boleh baharu serta kepelbagaian sumber tenaga.
“Usaha ini memberikan isyarat jelas bahawa Sabah komited memperkukuh keselamatan tenaga negeri kerana tanpa bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi, sukar bagi kita menarik pelaburan berimpak tinggi serta membangunkan industri bernilai tambah,” katanya.
-- BERNAMA