Skip to main content

Malaysia

Rundingan 40 peratus hasil Sabah tumpu empat aspek utama - Mustapha

KOTA KINABALU, 14 Feb -- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmudk menyampaikan ucapan pada Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di Ming Garden Kota Kinabalu hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mustapha berkata, tumpuan pertama ialah memuktamadkan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih Persekutuan dari Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. - Foto fail/BERNAMA

KOTA KINABALU: Rundingan Kerajaan Persekutuan dan Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri itu sedang giat dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada empat aspek utama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata tumpuan pertama ialah memuktamadkan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih Persekutuan dari Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tumpuan kedua melibatkan penyelarasan dan pengesahan data hasil yang membabitkan agensi utama seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia, manakala aspek ketiga meneliti isu bayaran lampau belum diselesaikan sejak sekian lama atau lost years secara adil.

“Tumpuan keempat ialah perbincangan mekanisme pelaksanaan secara berfasa bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan dengan teratur dan berterusan.

"Kesemua usaha ini menunjukkan bahawa rundingan bukan berada dalam keadaan statik, tetapi bergerak ke hadapan secara berstruktur dan berpaksikan fakta. Tuntutan 40 peratus itu hak mutlak Sabah termaktub dalam Perlembagaan bukannya pemberian ihsan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mustapha berkata pertukaran data kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 juga berjaya dilaksanakan, sekali gus membolehkan kedua-dua pihak mempunyai asas kefahaman lebih jelas terhadap angka dan kaedah pengiraan yang terlibat.

Menyentuh status Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau memaklumkan Kerajaan MADANI setakat ini telah menyelesaikan 13 daripada 29 perkara yang disasarkan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Beliau berkata bagi memperkukuh ketelusan, 'Dashboard Status Pelaksanaan MA63' telah diaktifkan untuk Fasa 1 bagi memantau asas kemajuan manakala Fasa 2 sedang dibangunkan untuk memperluas integrasi data antara agensi serta akses maklumat secara masa nyata.

Mengulas mengenai bayaran interim, Mustapha berkata ia hanya penyelesaian sementara sehingga kata putus dicapai menerusi persetujuan bersama.

“Sebarang usaha menaikkan nilai pembayaran itu adalah wajar bagi memacu pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

-- BERNAMA  

Must Watch Video