PASIR MAS: Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyatakan sokongan terhadap pendekatan berjimat dalam penganjuran rumah terbuka, termasuk menggunakan perbelanjaan sendiri tanpa bergantung kepada peruntukan kerajaan.
Beliau berkata pendekatan menggunakan belanja sendiri adalah selari dengan saranan kerajaan supaya penganjuran dilakukan secara sederhana.
"Untuk ekonomi negeri kita, rumah terbuka kadang-kadang boleh buat, kita buat ini hak persendirian, yang kerajaan itu terpulang kepada keadaan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya di Meranti di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu.
Mengulas lanjut, Mohd Nasuruddin berkata majlis yang diadakan itu merupakan tradisi tahunan selain menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat berikutan ketidaktentuan ekonomi global.
-- BERNAMA