Skip to main content

Malaysia

RM6.5 juta naik taraf Taman Lembah Kiara tumpu pemulihan infrastruktur - Hannah

Foto Shahir
Hannah berkata taman berkenaan yang terletak dalam kawasan Taman Persekutuan Bukit Kiara adalah di bawah seliaan JLN dan bukannya DBKL. - Foto fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kerja naik taraf Taman Lembah Kiara bernilai RM6.5 juta yang dilaksanakan Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah siap, dengan sebahagian besar peruntukan digunakan bagi pemulihan sistem saliran, kolam takungan serta kemudahan elektrik di taman rekreasi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata taman berkenaan yang terletak dalam kawasan Taman Persekutuan Bukit Kiara adalah di bawah seliaan JLN dan bukannya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata hanya kira-kira RM700,000 daripada keseluruhan kos projek digunakan bagi kerja landskap termasuk pembaikan laluan pejalan kaki dan dua gazebo, manakala selebihnya melibatkan kerja infrastruktur serta pemulihan sistem saliran yang telah rosak.

"Jadi apa yang kita nak betulkan persepsi adalah RM6.5 juta ini semua untuk kerja landskap, tidak betul. Untuk landskap hanya RM700,000 termasuk pembaikan laluan pejalan kaki dan juga naik taraf ataupun pembaikan dua gazebo dan landskap," katanya ketika meninjau taman itu, di sini pada Selasa.

Hannah berkata sebanyak RM2.5 juta pula diperuntukkan bagi menaik taraf sistem elektrik melibatkan peti pembekal atau feeder pillar, kabel bawah tanah dan penggantian 233 tiang lampu yang sebelum ini mengalami kerosakan.

Beliau berkata baki RM3.3 juta digunakan bagi kerja pemulihan kolam dan sistem saliran, termasuk rehabilitasi kolam huluan, lembangan pengendapan, baik pulih anak sungai serta kolam utama di taman berkenaan.

Katanya kerja naik taraf itu turut melibatkan pembinaan dua eco-wall, kerja menyahlodak dan pemasangan kemudahan penyelenggaraan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan kolam serta mengurangkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan.

Hannah berkata Taman Lembah Kiara kini dibuka semula kepada orang awam dengan waktu operasi dari 5.30 pagi hingga 8 malam selepas kerja naik taraf selesai dilaksanakan.

Beliau berkata projek itu masih berada dalam tempoh liabiliti kecacatan selama setahun sehingga April tahun depan, dengan JLN dan JPS Malaysia akan terus memantau keadaan fasiliti yang telah dinaik taraf.

Hannah turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Landskap Negara, JPS serta wakil penduduk Kampung Sungai Penchala dan Taman Tun Dr Ismail yang bersama-sama mengikuti lawatan tapak itu, sambil menyifatkan projek berkenaan sebagai usaha yang telah lama dinantikan komuniti setempat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement