Skip to main content

Dunia

Penyanyi legenda Peabo Bryson meninggal dunia pada usia 75 tahun

Celine Dion, left, and Peabo Bryson perform the song "Beauty and the Beast," that won them the Grammy for Best Pop Vocal Performance by a Group or Duo, at the 35th annual Grammy Awards in Los Angeles, Calif., Feb. 25, 1993. (AP Photo/Reed Saxon, File)
Celine Dion (kiri) dan Peabo Bryson mempersembahkan lagu 'Beauty and the Beast', yang memenangi Anugerah Grammy bagi Persembahan Vokal Pop Terbaik oleh Kumpulan atau Duo, pada Anugerah Grammy ke-35 di Los Angeles. - Foto fail/AP

NEW YORK: Penyanyi dan penulis lagu legenda R&B, Peabo Bryson, yang terkenal menerusi lagu duet ikonik seperti 'Beauty and the Beast' dan 'A Whole New World', dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Kematian beliau disahkan keluarganya dalam satu kenyataan, yang memaklumkan Bryson menghembuskan nafas terakhir pada Selasa, 2 Jun 2026, dalam keadaan tenang dikelilingi ahli keluarga serta orang tersayang.

Menurut laporan media, penyanyi itu sebelum ini mengalami serangan strok beberapa hari sebelum pemergiannya dan sedang menerima rawatan perubatan.

“Kami amat sedih namun terhibur dengan hakikat bahawa Peabo begitu disayangi dan muziknya telah menyentuh begitu ramai kehidupan,” menurut kenyataan keluarga beliau.

Bryson dikenali sebagai antara penyanyi balada R&B paling berpengaruh dengan kerjaya yang menjangkau lebih lima dekad.

Beliau meraih kemasyhuran global menerusi lagu tema filem Disney yang menjadi siulan ramai, termasuk:

  • Beauty and the Beast (bersama Celine Dion)
  • A Whole New World dari filem Aladdin (bersama Regina Belle)

Kedua-dua lagu itu bukan sahaja menjadi hits antarabangsa, malah memenangi Anugerah Grammy, menjadikannya antara karya paling dikenang dalam karier beliau.

Selain itu, Bryson turut menghasilkan pelbagai lagu popular lain seperti 'Tonight, I Celebrate My Love', 'If Ever You’re in My Arms Again' dan 'Can You Stop the Rain'.

Dilahirkan sebagai Robert Peapo Bryson di South Carolina, Amerika Syarikat pada tahun 1951, beliau memulakan karier muzik sejak 1970-an sebelum melakar kejayaan sebagai artis solo.

Sepanjang kerjayanya, beliau menghasilkan lebih 20 album dan mencatatkan beberapa lagu dalam carta Billboard, sekali gus menjadikannya antara penyanyi R&B terkemuka pada era 1980-an dan 1990-an.

Bryson juga dikenali dengan suara tenor yang lembut serta gaya nyanyian balada romantik yang menjadi identitinya dalam industri muzik.

Pemergian Bryson disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia muzik, khususnya dalam genre R&B dan lagu-lagu romantik.

Keluarga beliau turut menegaskan bahawa walaupun pemergiannya meninggalkan kesedihan, legasi muziknya akan terus hidup dan dikenang generasi akan datang.

Sepanjang lebih 50 tahun berkarya, beliau bukan sahaja mencipta lagu-lagu yang menjadi runut bunyi kehidupan ramai pendengar, malah turut memberi inspirasi kepada artis generasi baharu.

Dengan pemergiannya, dunia muzik kehilangan seorang legenda yang suara dan karyanya akan kekal abadi.
 

 

Must Watch Video

Advertisement