Skip to main content

Malaysia

Lelaki ditemukan lemas ketika beriadah di Empangan Batang Ai

FB Apm Lubok Antu
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada 9.55 malam sebelum operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 10.08 malam. - Foto APM Lubok Antu

KUCHING: Aktiviti beriadah bersama keluarga sempena musim perayaan Hari Gawai dan cuti sekolah bertukar tragedi apabila seorang lelaki ditemukan lemas di kawasan Empangan Batang Ai, Lubok Antu, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa Rudie Lan, 31, ditemukan pada 9.41 malam tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kedalaman kira-kira lima meter dan dalam radius satu meter dari lokasi terakhirnya.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis pada 9.55 malam untuk tindakan lanjut sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada 10.08 malam," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.05 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi.

Berdasarkan maklumat pengadu, ketika kejadian mangsa sedang beriadah bersama keluarganya dan dipercayai terjun ke dalam air untuk mandi, sebelum gagal dikesan. 

 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement