BEAUFORT: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan ombak kuat ketika mandi bersama ahli keluarganya di Pantai Batu Linting, Kuala Penyu, petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Jason Alexander Jonathan, 15, dari Kampung Kiaulu, Tuaran, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan sehingga ke tengah laut.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, mangsa ketika itu mandi bersama ahli keluarga sebelum arus kuat tiba-tiba menariknya ke laut.
"Adik mangsa cuba membantu menyelamatkannya namun gagal sebelum mangsa terus dibawa arus.
"Adik mangsa yang turut mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan membabitkan pasukannya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung dan nelayan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Zulhalim Abdin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.22 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari BBP Kuala Penyu dikerahkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak dipercayai lemas ketika mandi di pantai berkenaan.
"Seorang mangsa berusia 13 tahun berjaya diselamatkan ahli keluarganya, manakala Jason masih belum ditemui.
"Operasi pencarian dijalankan di kawasan persisiran pantai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air namun usaha mencari berdepan cabaran akibat keadaan ombak yang kuat.
"Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan," katanya. -Sinar Harian