JOHOR BAHRU: Ranhill SAJ bekerjasama dengan Yes memperkenalkan inisiatif baharu bagi membantu isi rumah di Johor mengurangkan kos sara hidup melalui penjimatan bil air, di samping memperluas capaian digital dalam kalangan pengguna.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Mohd Hedzir Hanafi berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong kesejahteraan komuniti melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Peranan kami bukan sekadar membekalkan air terawat dan selamat, sebaliknya melalui kerjasama dengan Yes ini, kami dapat menawarkan penjimatan yang bermakna kepada isi rumah di Johor sambil menggalakkan penggunaan digital melalui aplikasi Ranhill SAJ,” katanya.
Tambahnya, inisiatif tersebut merupakan langkah penting ke arah membina komuniti yang lebih berhubung serta memperkukuh ekosistem digital di negeri itu.
Melalui kerjasama berkenaan, pelanggan yang melanggan pelan Jalur Lebar Yes 5G Advanced akan menikmati baucar RM10.50 sebulan untuk bil air selama enam bulan pertama, sekali gus menggabungkan keperluan asas utiliti dan ketersambungan digital dalam satu pakej nilai tambah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee berkata kerjasama tersebut membuktikan perkhidmatan asas boleh digabungkan dengan teknologi digital bagi memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Sambungan internet yang boleh dipercayai kini menjadi satu keperluan untuk isi rumah dan melalui kerjasama dengan Ranhill SAJ ini, kami berbangga dapat membawa rangkaian 5G Advanced ke lebih banyak rumah di Johor sambil membantu keluarga menikmati penjimatan tambahan pada bil air mereka,” ujarnya.
Sebagai penyedia perkhidmatan air utama di Johor, Ranhill SAJ terus memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan air yang selamat dan berterusan kepada lebih 1.8 juta isi rumah di negeri itu.
Pada masa sama, akses internet berkelajuan tinggi dilihat semakin kritikal dalam menyokong keperluan pendidikan, pekerjaan serta komunikasi harian masyarakat masa kini.
Melalui pelan yang ditawarkan, pengguna boleh menikmati perkhidmatan jalur lebar bermula RM68 sebulan bersama pelbagai manfaat tambahan termasuk peranti premium percuma serta langganan iQIYI selama setahun dengan nilai keseluruhan melebihi RM1,300.
Penyelesaian WiFi rumah yang disediakan juga bersifat plug-and-play tanpa pemasangan berwayar, sekali gus memudahkan pengguna menikmati sambungan internet dengan lebih cepat dan praktikal.
Selain penjimatan kos, pelanggan turut digalakkan memuat turun aplikasi Ranhill SAJ bagi memudahkan pengurusan akaun air, semakan bil serta mendapatkan maklumat perkhidmatan secara masa nyata.
Inisiatif ini dijangka memperluas penyertaan rakyat dalam ekosistem digital selaras dengan aspirasi Johor sebagai negeri pintar dan berdaya saing.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mendaftar melalui laman sesawang rasmi Yes atau mengunjungi kedai Yes terpilih di Johor.