KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah meminta semua rakyat Malaysia di Mesir supaya mengelakkan kawasan demonstrasi awam dan lokasi yang menjadi tumpuan kehadiran pihak keselamatan.
Menurut notis konsular kedutaan yang dimuat naik di Facebook Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah rakyat Malaysia turut diminta sentiasa membawa dokumen pengenalan diri seperti pasport, visa dan kad pelajar yang sah dan tidak tamat tempoh setiap masa.
“Elakkan menulis atau menyebar maklumat yang tidak disahkan yang boleh ditafsir sebagai mengganggu elemen ketenteraman yang menyalahi undang-undang tempatan,” menurut notis itu.
Notis itu turut meminta rakyat Malaysia untuk mengikuti perkembangan dan arahan terkini daripada pihak berkuasa Mesir, merujuk dan menyemak maklumat perjalanan terkini yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan dan kekal tenang serta mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang sahih.
Rakyat Malaysia juga diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi peraturan arahan semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa, menurut notis itu.
Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dan ingin mengemas kini maklumat keberadaan dengan Kedutaan adalah dinasihatkan untuk mendaftar melalui pautan https://ekonsular.kln.gov.my/login (sila rujuk manual pengguna modul https://ekonsular.kln.gov.my/manual).
Sebarang kes kecemasan yang memerlukan bantuan konsul, sila hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir di alamat 10 Street 261, Maadi, Kaherah. Telefon: +02 2517 4210/ +20 120 027 6388 (24 jam) atau emel [email protected] / [email protected].
-- BERNAMA