KUALA LUMPUR: Kesemua rakyat Malaysia yang dihubungi oleh perwakilan diplomatik Malaysia di seluruh Asia Barat disahkan selamat dan berada dalam keadaan baik di tengah-tengah situasi keselamatan yang tidak menentu di rantau itu, menurut Kementerian Luar.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, kementerian itu memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang menetap di Lubnan, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), juga kekal selamat meskipun situasi keselamatan yang masih tidak menentu di negara berkenaan.
“Rakyat Malaysia di rantau itu digesa supaya sentiasa berwaspada dan terus berhubung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat sekiranya memerlukan bantuan konsular,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu berkata nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac lepas, yang menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh konflik semasa, masih berkuat kuasa.
Kementerian Luar menyatakan kemas kini terbaharu daripada misi diplomatik menunjukkan tiada rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Bahrain, Iraq, Lubnan, Oman, Qatar atau Arab Saudi.
“Di Jordan dan Syria, baki rakyat Malaysia yang ada telah berjaya berlepas dari Amman ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.40 pagi (waktu tempatan) pada 16 Mac,” menurut kenyataan itu.
Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kementerian memaklumkan hanya segelintir rakyat Malaysia yang masih berada dalam senarai terkandas, dengan sebahagian besarnya sudah memiliki tiket pulang yang disahkan dan dijangka berlepas menaiki penerbangan komersial akan datang. Sebilangan kecil lagi sedang dibantu bagi mengatur pilihan perjalanan yang sesuai.
Di Kuwait pula, dua rakyat Malaysia masih berada di negara itu. Seorang daripadanya telah mendapat tiket penerbangan pulang yang dijadualkan pada 31 Mac melalui Madinah, manakala seorang lagi sedang meneliti pilihan yang ada dan telah mendapatkan nasihat daripada Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait.
Sementara itu, Kementerian Luar bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus memantau perkembangan dengan teliti dan bekerjasama dengan misi diplomatik, kerajaan tuan rumah, syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan lain bagi menjaga kebajikan rakyat Malaysia di rantau berkenaan.
Walaupun persekitaran keselamatan tidak menentu dan aktiviti ketenteraan terus dilaporkan di beberapa bahagian di rantau itu dalam tempoh 48 jam yang lepas, kementerian menyatakan laluan penerbangan komersial antara Malaysia dan beberapa negara Asia Barat masih beroperasi.
“Laporan perwakilan baru-baru ini mengesahkan bahawa jumlah pengembara Malaysia yang terkandas di seluruh rantau itu sebahagian besarnya telah diselesaikan susulan pembukaan semula operasi penerbangan komersial dan penyelarasan berterusan oleh misi diplomatik Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kementerian Luar memaklumkan Perwakilan Diplomatik Malaysia di seluruh Asia Barat tetap beroperasi dan terus menyediakan bantuan konsular, termasuk mengekalkan hubungan dengan rakyat Malaysia yang berdaftar serta menasihati pengembara yang terganggu perjalanan mereka untuk menggunakan penerbangan komersial yang tersedia.
Kementerian turut menyatakan misi diplomatik Malaysia terus menjalankan pemeriksaan kebajikan dan mengekalkan hubungan dengan rakyat Malaysia yang berdaftar di kawasan terjejas.
“Susulan insiden terpencil melibatkan serpihan yang jatuh di beberapa bahagian di rantau Teluk, termasuk di UAE dan Bahrain, misi diplomatik Malaysia telah menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar di kawasan terjejas dan mengesahkan kesemua mereka selamat dan tidak cedera,” katanya.
Sementara, Kementerian Luar berkata Perwakilan Diplomatik di seluruh Asia Barat masih beroperasi dan terus memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia di rantau ini, termasuk mengekalkan hubungan dengan rakyat Malaysia yang berdaftar dan memberikan nasihat kepada pengembara yang perjalanan mereka tergendala untuk menggunakan penerbangan komersil yang ada.
Kementerian turut menyatakan perwakilan diplomatik Malaysia terus menjalankan pemeriksaan kebajikan dan mengekalkan hubungan dengan rakyat Malaysia yang berdaftar di kawasan terjejas.
“Susulan insiden terpencil melibatkan serpihan yang jatuh di beberapa bahagian di rantau Teluk, termasuk di UAE dan Bahrain, misi diplomatik Malaysia telah menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar di kawasan terjejas dan mengesahkan kesemua mereka selamat dan tidak cedera,” katanya.
Di Bahrain, Kedutaan Besar Malaysia di Manama sebelum ini telah menyediakan tempat perlindungan sementara bagi rakyat Malaysia yang kehilangan tempat tinggal semasa fasa awal krisis.
Memandangkan keadaan bertambah baik dan penduduk mula pulang ke rumah masing-masing secara beransur-ansur, pihak perwakilan telah menamatkan pengaturan perlindungan sementara itu.
“Tiada rakyat Malaysia yang sedang berlindung di Pejabat Kedutaan Besar atau di Rumah Malaysia buat masa ini,” menurut kenyataan itu.
Kementerian memaklumkan Bilik Operasi di Putrajaya masih aktif 24 jam sehari dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di [email protected]
-- BERNAMA