GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima sebanyak 2,165 rayuan daripada pemilik hartanah berhubung semakan kadar Cukai Tanah 2026, dengan 532 kes telah diputuskan setakat ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,665 permohonan masih dalam proses semakan, dan penelitian rayuan mengambil masa kerana pegawai perlu turun semula ke tapak bagi membuat semakan.
"Jumlah rayuan yang diterima setakat ini masih rendah berbanding keseluruhan 370,000 hak milik hartanah di Pulau Pinang. Keputusan rayuan tidak semestinya memihak kepada pemohon kerana setiap kes akan dinilai berdasarkan keadaan sebenar.
“Ada kes yang jelas seperti kesilapan pengkelasan kawasan bandar dan desa yang boleh diperbetulkan, namun ada juga kes lebih rumit seperti premis yang sebahagiannya kediaman, komersial atau industri,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri menjangkakan jumlah rayuan mungkin lebih banyak melibatkan kategori industri dan perniagaan berbanding kediaman.
Sementara itu, Chow memaklumkan rekod Pejabat Tanah dan Galian menunjukkan terdapat kira-kira 230,000 hak milik tanah sebelum merdeka di Pulau Pinang yang didaftarkan sebagai Geran dan Geran Mukim.
Namun, selepas semakan Cukai Tanah 2026, kerajaan negeri menetapkan bahawa penentuan kadar cukai bagi hak milik sebelum merdeka termasuk First Grade adalah berdasarkan kegunaan semasa tanah.
''Daripada jumlah itu, sebanyak 126,516 lot dikenal pasti sebagai kediaman, 28,015 perniagaan, 35,624 pertanian, 3,499 industri dan 13,737 lot rumah kampung,'' katanya.
Kerajaan negeri telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah dan pengelasan tanah desa ke bandar bagi seluruh Pulau Pinang selaras dengan peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang berkuat kuasa mulai 1 Jan lepas.
Pelaksanaan semakan kadar cukai tanah itu melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang, merangkumi pelbagai kategori dan kegunaan tanah termasuk kategori kediaman, perniagaan, perindustrian, pertanian serta kategori khas lain.
-- BERNAMA