Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang teliti langkah tambah baik keselamatan kebakaran bangunan lama, warisan

BUKIT MERTAJAM, 24 Jan -- Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa H'ng Mooi Lye menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan replika cek kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela Pulau Pinang di bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
H’ng berkata PBT negeri sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan bangunan lama dan bangunan warisan melalui kerjasama dengan JBPM serta agensi teknikal berkaitan. - Gambar fail/Bernama

GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan meneliti langkah penambahbaikan termasuk mengukuhkan aspek keselamatan kebakaran bagi bangunan lama dan warisan susulan kejadian kebakaran di bangunan Odeon di Jalan Penang, di sini, yang mengorbankan seorang pekerja binaan pada Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata perkara itu akan diteliti berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa serta pandangan agensi teknikal berkaitan.

“Kerajaan negeri memandang serius insiden kebakaran yang berlaku, dan antara perkara yang boleh diberi perhatian termasuk pengukuhan aspek pematuhan keselamatan kebakaran, pemantauan bangunan berisiko, kawalan terhadap kerja ubah suai serta peningkatan kesedaran dalam kalangan pemilik bangunan dan pengusaha premis.

“Sebarang cadangan penambahbaikan akan diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek keselamatan, pemeliharaan warisan dan keperluan perundangan sedia ada,” katanya kepada Bernama.

H’ng berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan bangunan lama dan bangunan warisan melalui kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi teknikal berkaitan.

Beliau berkata, antara langkah yang dilaksanakan ialah pemantauan penggunaan bangunan, kawalan terhadap kerja ubah suai, pematuhan syarat pelesenan premis serta penyelarasan dengan agensi teknikal berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian.

Katanya, pemilik bangunan dan pengusaha premis turut digalakkan memastikan sistem keselamatan kebakaran seperti laluan keluar kecemasan, alat pemadam api, sistem penggera kebakaran dan pendawaian elektrik sentiasa berada dalam keadaan baik serta mematuhi keperluan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau berkata MBSP melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan terhadap bangunan serta premis dalam kawasan pentadbirannya mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk berkaitan pelesenan, penggunaan bangunan dan pematuhan syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata MBPP melaksanakan pemantauan tapak secara berkala bagi memastikan setiap kerja pembangunan, pengubahsuaian dan konservasi dilaksanakan mengikut kelulusan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, di samping memantau bangunan usang dan terbiar demi menjamin keselamatan orang awam.

“Bagi memastikan tahap pematuhan dalam kalangan pemilik bangunan, MBPP sebelum ini telah mengambil inisiatif memudah cara proses permohonan bagi rumah kedai dan bangunan warisan sedia ada dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town melalui pelaksanaan prosedur yang lebih efisien.

“Inisiatif itu membolehkan pemilik bangunan mengemukakan permohonan pelan bangunan bagi kerja-kerja berkaitan tanpa perlu melalui proses kebenaran merancang, tertakluk kepada syarat dan kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Langkah itu, katanya, bertujuan menggalakkan pemilik bangunan mendapatkan kelulusan yang sewajarnya serta memastikan bangunan yang digunakan bagi tujuan komersial memenuhi keperluan teknikal dan keselamatan yang ditetapkan oleh JBPM.

H’ng berkata susulan kejadian kebakaran itu, MBPP akan meneliti hasil siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan dan bersedia mempertimbangkan langkah penambahbaikan yang sewajarnya sekiranya terdapat keperluan untuk memperkukuhkan prosedur, garis panduan atau syarat keselamatan sedia ada.

“Selain itu, MBPP juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Ahli Jawatankuasa SPEAD (Surveyors, Planners, Engineers, Architects and Developers) serta agensi teknikal berkaitan bagi meneliti cadangan penambahbaikan yang bersesuaian khususnya berkaitan aspek keselamatan bangunan lama dan bangunan warisan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mendapatkan dan menyelaras maklumat berkaitan daripada PBT serta agensi berkaitan dari semasa ke semasa bagi tujuan pemantauan dan tindakan susulan.

"Sekiranya terdapat bangunan atau premis yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan dari aspek keselamatan kebakaran, beliau berkata tindakan yang bersesuaian boleh diambil mengikut bidang kuasa agensi masing-masing termasuk arahan pembaikan, pemeriksaan lanjut, pemantauan berfokus, penguatkuasaan serta rujukan kepada JBPM,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lepas, seorang pekerja binaan warga Myanmar Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, maut akibat terhidu asap selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah premis pusat hiburan di bangunan Odeon di Jalan Penang, yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian bagi dijadikan sebuah restoran.

– BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement