Skip to main content

Malaysia

Pemilikan bumiputera perlu beralih kepada penguasaan rantaian lebih besar - Ahmad Zahid

KUALA TERENGGANU, 2 Jun -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 di Terengganu Equestrian Resort hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid berkata usahawan bumiputera tidak boleh terus dilihat hanya sebagai vendor kecil, pembekal sampingan atau pemain di hujung rantaian industri, sebaliknya perlu dibawa ke tahap lebih tinggi sebagai pengeluar utama, pemilik teknologi dan penguasa pasaran. -Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Pemilikan bumiputera seharusnya tidak terhenti pada perniagaan kecil semata-mata, tetapi perlu bergerak kepada penguasaan rantaian nilai yang lebih besar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usahawan bumiputera tidak boleh terus dilihat hanya sebagai vendor kecil, pembekal sampingan atau pemain di hujung rantaian industri, sebaliknya perlu dibawa ke tahap lebih tinggi sebagai pengeluar utama, pemilik teknologi dan penguasa pasaran.

"Dalam industri halal, misalnya kekuatan Malaysia tidak boleh hanya terhenti pada pensijilan. Halal mesti menjadi rantaian nilai yang kita kuasai daripada bahan mentah, pemprosesan, pembungkusan, logistik, pemasaran hingga ke pasaran antarabangsa.

"Sebab itu cadangan pembentukan konsortium syarikat bumiputera berskala 'anchor' bagi menghasilkan bahan mentah kritikal seperti gelatin halal, enzim dan bahan aktif farmaseutikal perlu dilihat sebagai langkah strategik. 

"Kita mesti mengurangkan kebergantungan kepada import dan membina keupayaan bumiputera dalam sektor halal bernilai tinggi," katanya berucap pada Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata ramai usahawan bumiputera dalam sektor makanan dan francais memiliki produk berkualiti namun masih berdepan cabaran dari segi kos, skala operasi, standard dan akses pasaran.

"Maka pendekatan pembelian berkelompok, dapur komersial berpusat serta model pembina teroka francais boleh menjadi laluan untuk menyatukan kuasa beli, menstandardkan kualiti dan membawa jenama bumiputera ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Ahmad Zahid turut menggesa lebih ramai usahawan bumiputera menceburi sektor masa hadapan seperti teknologi aeroangkasa, dron, automasi dan industri berteknologi tinggi.

"Anak-anak bumiputera tidak boleh hanya menjadi pengguna kepada teknologi ini. Mereka mesti menjadi juruteknik, pereka bentuk, pembekal komponen, penyedia perkhidmatan dan akhirnya pemilik dalam rantaian industri tersebut. 

"Inilah maksud penguasaan ekonomi yang sebenar. Usahawan bumiputera mesti digerakkan keluar daripada ruang yang kecil dan terhad, kepada kedudukan yang lebih strategik dalam rantaian nilai negara," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata ukuran kejayaan ekonomi bumiputera perlu diubah dengan tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek penyertaan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada penguasaan dan pemilikan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.

"Selama ini kita sering mengukur kejayaan melalui penyertaan. Berapa ramai bumiputera berniaga… menggunakan platform digital. Berapa ramai anak muda terlibat dalam ekonomi gig. Semua itu penting, tetapi bagi saya ia belum mencukupi kerana dalam ekonomi hari ini, khususnya platform digital bahawa penyertaan tidak semestinya membawa kepada pemilikan.

"Sebab itu nilai sebenar ekonomi digital bukan sekadar pada transaksi. Nilai sebenar terletak pada pemilikan platform, penguasaan data dan penciptaan ekuiti. Atas semangat itu, saya ingin melihat satu usaha yang lebih berani untuk membangunkan platform digital bumiputera yang berskala besar, berdaya saing dan mampu menjadi jenama Malaysia," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata bumiputera perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada pencipta nilai melalui teknologi bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam ekonomi baharu yang dipacu data, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

 Beliau turut menyeru agar seluruh ekosistem ekonomi bumiputera digerakkan dengan lebih bersepadu serta perlu menyatukan dasar, modal, teknologi, bakat, pasaran dan keberanian dalam satu gerakan nasional yang benar-benar memberi kesan. 

"Saya percaya apabila bumiputera memiliki platform, menguasai teknologi dan memimpin rantaian nilai maka kita bukan sahaja membina ekonomi yang lebih kuat, tetapi membina bangsa yang lebih yakin terhadap masa depannya," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement